Kerajaan Pahang sambut baik buka Genting Highlands, Tioman

Genting Highlands bakal menjadi destinasi baharu gelembung pelancongan negara. ( Gambar kecil: Mohd Sharkar)
Genting Highlands bakal menjadi destinasi baharu gelembung pelancongan negara. ( Gambar kecil: Mohd Sharkar)
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri apabila dua lokasi pelancongan di Pahang iaitu Pulau Tioman dan Genting Highlands bakal menjadi destinasi baharu gelembung pelancongan negara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan agar beberapa lokasi lain di negeri ini turut dibuka untuk gelembung pelancongan.

Menurutnya, antara lokasi terbabit seperti di Bukit Fraser, Taman Negara, Kuala Gandah dan Cameron Highlands turut dibuka bagi tujuan tersebut.

"Ini kerana lokasi terlibat telah mematuhi syarat ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan imuniti kelompok melebihi 90 peratus telah mendapatkan vaksin.

"Kita berharap Menteri Pelancongan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya kerana Pahang merupakan sebuah negeri yang besar dan memiliki banyak produk pelancongan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata, selain dua destinasi terbabit, Melaka turut menjadi antara lokasi terlibat dan menjelaskan perkara itu telah dipersetujui melalui Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 berhubung prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar juga mengharapkan pemain sekator pelancongan dan penduduk khususnya di Pulau Tioman dapat memanfaatkan tempoh dua bulan yang ada dengan sebaik mungkin sekiranya cadangan itu diluluskan untuk gelembung pelancongan bermula 1 Oktober nanti.

"Seperti yang kita tahu, penduduk dan pemain industri di sana (Tioman) perlu bersabar kerana pada Disember, Januari dan Februari ditutup kerana musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Pulau tersebut tidak akan menerima kehadiran pelancong, jadi pemain industri dan penduduk perlu ambil tempoh dua bulan ini dengan sebaik mungkin dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Genting Highlands, Melaka, Pulau Tioman bakal dibuka