FPDA, AUKUS: Malaysia cadang dapatkan pandangan China

Hishammuddin - Foto fail Bernama
Hishammuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pakatan strategik ketenteraan baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendekatan itu menjadi keperluan untuk Malaysia mengimbangi dua kuasa besar dunia iaitu antara AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Justeru menurutnya, pihaknya bercadang melakukan lawatan kerja singkat ke republik China dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

“Saya bercadang untuk melakukan lawatan ke sana (China) dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan kepimpinan negara itu khususnya dalam konteks pertahanan.

"Kita akan cuba menelitinya, namun ia bukan perkara mudah bagi mengimbangi dua kuasa besar untuk melihat kedudukan kedaulatan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Malaysia juga sudah dihubungi oleh Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton mengenai AUKUS dan FPDA.

"Dua hari lalu, saya mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Australia dan turut menasihati beliau supaya selain mendekati Malaysia adalah penting untuk mendekati Brunei sebagai Pengerusi ASEAN.

"Saya akan meneliti dan mengimbangi dua kuasa besar ini," katanya.

Artikel Berkaitan: