'Kerja polis lebih senang, tanpa campur tangan politik'

Musa Hassan
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tugas dan kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lancar sekiranya tidak wujud campur tangan politik.

Musa menegaskan, sesuatu kes sekiranya hanya melibatkan penjenayah ia ternyata menyenangkan kerja polis untuk menyelesaikannya namun, jika ada campur tangan politik kes tersebut akan menjadi sukar dan lambat dirungkaikan.

"Bagi saya seperti kes-kes jenayah atau sebarang tindakan lain yang dibuat polis jika tidak ada campur tangan politik mereka (polis) akan menjalankan tugas dengan baik.

“Tetapi jika ada arahan daripada pihak tertentu, kita (polis) kena lihatlah. Biasanya polis ini akan ikut budi bicara sendiri dan mengikut peraturan undang-undang (rule of law).

“Jadi kalau polis dibenarkan menjalankan tugasnya mengikut peraturan undang-undang memang tidak ada masalah dan kerja akan berjalan lancar,” katanya ketika menjadi panel penerangan tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) di Menara Datuk Onn, katanya di sini, hari ini.

Merujuk insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, beliau berkata, tindakan pihak tertentu menyalahkan polis kononnya lambat sampai di lokasi kejadian adalah satu dakwaan tidak wajar.

“Boleh pula ada pihak tuding jari salahkan polis lambat sampai. Polis bertindak pantas, boleh pula mereka kata polis datang lambat.

“Dulu sewaktu saya masih lagi Ketua Polis Negara, saya telah keluarkan arahan kereta polis mesti sampai lima minit sejurus terima aduan, jadi tuduhan itu tidak wajar sama sekali.

“Itu sebab, saya harap orang politik tidak campur tangan dalam urusan kerja polis,” tegasnya.

Malah menurut beliau, berkaitan konflik kuil tersebut, ia sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Kuil itu tiada kaitan dengan rusuhan kaum, biar mahkamah putuskan dan sebaiknya kerajaan tidak perlu campur tangan,” ujarnya.

Tambah Musa, amalan terlalu toleransi yang diamalkan kerajaan seperti hasrat memansuhkan kesan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) akan mengundang kepada kerosakan kepada negara.

“Kalau undang-undang itu digubal untuk menjaga keamanan supaya tidak timbul isu perkauman dan pergaduhan antara kaum.

“Kerajaan perlu ingat kerana negara kita negara yang dihuni masyarakat majmuk, jadi akta-akta ini diwujudkan untuk menjaga itu, jadi kalau dimansuhkan rosaklah,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berpendapat himpunan perdana membantah ICERD yang dijadual 8 Disember ini, wajar dilaksanakan untuk meberi peluang kepada rakyat meluahkan rasa sangsi.

“Himpunan bantah ICERD ini saya rasa perlu untuk masyarakat menunjukkan hasrat dan perasaan mereka.

“Ia perlu untuk mereka menyuarakan rasa sangsi dan sekiranya ia dibuat secara aman tidak ada masalah,” katanya.