Pengaruh antivaksin mungkin main peranan kes kematian akibat Covid-19

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang muda, namun tiba di hospital dengan jangkitan Covid-19 yang teruk, berstatus komorbid serta tidak divaksinasi - fenomena yang kini menjadi kelaziman di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan angka mereka mengatasi jumlah pesakit warga emas komorbid tetapi lengkap vaksinasi Covid-19.

Menyifatkan situasi itu ada kaitan dengan isu "keberatan menerima vaksin Covid-19", doktor yang bertugas akan meningkatkan kewaspadaan terhadap pesakit muda terbabit kerana mereka dikategorikan sebagai amat berisiko.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HTAR, Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa kira-kira dua pertiga daripada pesakit yang diterima hospital itu adalah berusia bawah 60 tahun.

"(dan)... hampir kesemuanya tidak divaksinasi. Masih ada kelompok yang sedemikian," katanya tatkala laporan menyebut lebih 55 peratus populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi, dan di Lembah Klang sahaja lebih 80 peratus penduduk sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Dr Ahmad Tajuddin yang juga Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, berkata trend itu mula dikesan pada permulaan gelombang keempat, penghujung Jun lepas.

Katanya ketika itu mereka tidak mengaitkan isu "keberatan untuk divaksinasi" sebagai penyumbang utama status vaksinasi pesakit berikutan pemvaksinan masih belum dilaksanakan secara meluas.

Bagaimanapun, mengambil kira program pemvaksinan tanpa janji temu sudah dilaksanakan sejak hampir dua bulan lepas, beliau kini berpendapat faktor "keberatan untuk divaksinasi" merupakan penyebab utama situasi itu.

"Baik yang pertengahan usia mahupun yang lebih muda, sesetengahnya hanya menerima satu dos manakala yang lain pula langsung tidak menerima sebarang dos vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Golongan antivaksin yang turut digelar antivaxxer, kini menjadi kelompok yang mendominasi katil hospital dan juga penyumbang angka kematian akibat Covid-19 di negara-negara yang telah memulakan pemvaksinan lebih awal seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat baru-baru ini melaporkan penduduk negara itu yang tidak divaksinasi didapati 10 kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan 11 kali ganda berkemungkinan maut berbanding mereka yang divaksinasi. Sementara di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kumpulan yang tidak divaksinasi merangkumi hampir 80 peratus daripada pesakit yang dirawat di hospital sekarang.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Tajuddin berkata status vaksinasi pesakit mempunyai impak yang besar terhadap tahap pemulihan mereka.

"Kami dapati ada perbezaan umpama langit dengan bumi. Jika seseorang pesakit itu telah divaksinasi, keadaannya tidak mungkin merosot teruk.

"Namun, jika dia (tidak divaksinasi) dan tiba dalam keadaan tidak begitu teruk, keadaannya boleh berubah dan merosot dengan cepat. Andai kata seorang pesakit tiba dalam keadaan kategori 4, iaitu perlukan bantuan oksigen serta tidak divaksinasi, maka kami perlu tingkatkan kewaspadaan kerana dia adalah 'red flag' bagi kami," katanya.

Menurutnya, kesemua pesakit Covid-19 yang diterima HTAR mempunyai lebih daripada satu penyakit atau kelompok komorbid.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi mengesahkan trend itu dan menganggarkan 70 peratus daripada kemasukan ke wad adalah golongan yang tidak divaksinasi yang turut menyumbang 80 peratus kepada angka kematian.

Katanya kebanyakan pesakit muda yang keadaannya merosot dengan teruk, turut didiagnosis dengan diabetes yang tidak dikesan lebih awal.

"Yang muda ada komorbiditi, obesiti, ada kencing manis, tak pernah menjalani pemeriksaan perubatan. Masa dia masuk ke hospital baru kita tahu dia ada kencing manis," jelasnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Tajuddin percaya sesetengah individu tidak mahu divaksinasi kerana menyangka faktor usia muda sudah memadai untuk melindungi mereka daripada dijangkiti virus maut tersebut.

"Asalnya (Covid-19) bermula sebagai penyakit yang hanya menjangkiti orang tua atau mereka yang berpenyakit. Saya fikir ini yang membuatkan golongan muda berasa mereka selamat," katanya.

Beliau berkata golongan muda juga mungkin lebih berani untuk bersosial dan tidak begitu mematuhi garis panduan mencegah Covid-19.

Menurut KKM, kira-kira enam peratus penduduk di negara ini atau 1.46 juta orang tidak berdaftar untuk divaksinasi. Pada masa ini, semua individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan tidak ada yang masih menunggu untuk suntikan pertama mereka. Sesetengah daripada yang tidak berdaftar itu mungkin antivaksin tegar manakala yang lain pula mungkin disebabkan kekangan akses, baik dari segi teknikal mahupun faktor geografi.

KKM, dengan bantuan badan bukan kerajaan termasuk MERCY Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta IMARET, berusaha memastikan mereka yang menghadapi kekangan tersebut, sama ada kerana tinggal jauh di pedalaman atau pekerja asing, mendapat akses kepada vaksin Covid-19.

"Pendaftaran bukan prasyarat untuk vaksinasi. Vaksinasi tanpa janji temu dilaksanakan hampir di semua tempat di negara ini. Selain itu, terdapat usaha outreach (menggunakan segala kemudahan yang ada - helikopter, bot dan lain-lain) untuk memberikan vaksin kepada golongan yang berdepan jurang digital," kata Dr Mahesh Appannan, ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dalam responsnya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, menerusi Twitter.

Golongan antivaksin hanya mewakili segelintir daripada jumlah penduduk negara ini, namun itu tidak menghalang mereka daripada menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat salah selain aktif menghasut orang lain agar tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19. Ada juga yang menjual sijil vaksin palsu bagi membolehkan mereka menikmati "kebebasan" yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada individu yang telah lengkap vaksinasi.

Pakar kesihatan awam serta kumpulan majikan turut menyatakan sokongan masing-masing sekiranya vaksinasi diwajibkan pada masa akan datang jika masih terdapat ramai penduduk yang enggan divaksinasi sekalipun telah didekati oleh pihak bertanggungjawab. - Bernama