Parlimen harus bebas daripada kuasa eksekutif

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Parlimen seharusnya bebas daripada kuasa eksekutif atau kerajaan untuk membuat keputusan dasar dalam pelaksanaan pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara tersebut berlaku selepas pemansuhan Undang-undang Pentadbiran Parlimen 1993 yang akhirnya membawa kembali Parlimen kepada kuasa berkenaan.

Bagaimanapun katanya, apabila diletakkan di bawah eksekutif ia bukan bermakna ahli Parlimen tidak bebas bercakap atau mengganggu ketika berbahas dalam dewan.

“Tetapi dari sudut kebebasan Parlimen itu sendiri dia patut bebas melaksanakan pentadbiran menyendiri dan membuat keputusan sendiri.

“Contohnya, apabila seseorang hendak pergi ke luar negara bagi aktiviti antarabangsa, dia tak boleh buat keputusan sendiri, biasanya speaker kena memohon kepada pihak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

“Kalau mereka tidak setuju dengan pihak tertentu yang mewakili kerajaan untuk pergi ke forum-forum tersebut maka tiadalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Live Edisi 291 yang bertajuk Reformasi Parlimen: Ke Arah Kematangan Demokrasi pada Selasa.

Turut menjadi panel, Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu; bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala Pengurus Unit Demokrasi dan Urus Tadbir Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Wacana Sinar bertajuk Reformasi Parlimen: Ke Arah Kematangan Demokrasi pada Selasa.
Wacana Sinar bertajuk Reformasi Parlimen: Ke Arah Kematangan Demokrasi pada Selasa.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, undang-undang khusus perlu diwujudkan bagi membebaskan Parlimen daripada cengkaman eksekutif supaya ia bebas melaksanakan keputusan sendiri.

“Oleh kerana undang-undang pentadbiran Parlimen 1993 dimansuhkan dan saya dapati struktur tersebut tidak mencukupi dan hanya sekadar salin (copy) dari pihak England pada ketika itu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, ‘Private Member’s Bill’ perlu dilaksanakan untuk meluaskan lagi tugas dan tanggungjawab setiap ahli Parlimen sebagai penggubal dasar dan undang-undang di Parlimen.

Menurutnya, apabila perkara itu dilaksanakan maka kerajaan tidak mempunyai 100 peratus tugasan untuk mewujudkan satu-satu perundangan.

“Jadi perkara ini menjadi isu kepada kita kerana kita tidak mempunyai prosedur tertentu untuk memudahkan pelaksanaan seseorang itu membawa ‘Private Member’s Bill’ ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara.

“Disebabkan itulah banyak halangan yang telah ditetapkan di dalam peraturan kerana kita perlu mengetahui bahawa peraturan Dewan Rakyat ini digubal pada tahun 1956 dahulu dan dalam situasi ketika itu.

“Jadi apabila dah menjadi lebih mengetahui, celik dan berkemampuan, sepatutnya pindaan kepada peraturan dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pihaknya yakin ‘Private Member’s Bill’ boleh dilaksanakan dengan kemampuan ahli Parlimen yang mempunyai kebolehan tertentu untuk melaksanakannya.

“Pada 1962 hingga 1965, kebanyakkan negeri tidak berkemampuan nak cari peguam untuk menggubal peraturan-peraturan dan pada tahun 1962 itu lah salinan peraturan daripada Dewan Rakyat diberikan kepada negeri-negeri untuk diambil sebagai contoh ketika itu.

“Ini satu rungutan yang kita lihat pada ketika itu, jadi dalam keadaan sedemikian kalau kita nak melaksanakan memang tidak akan mampu untuk dilaksanakan kerana pada ketika itu kebolehan kita belum sampai ke tahap baik.

“Tetapi sekarang ini pada 2000 hingga kini, saya cukup yakin dalam kalangan ahli Parlimen ramai yang mempunyai kebolehan tertentu,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak diluluskan sekalipun sekurang-kurangnya perkara tersebut diketahui orang ramai bahawa ada segelintir yang mempunyai minat untuk membuat undang-undang.