X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

PKNS raih jualan RM37.8 juta

Salah satu projek perumahan yang dibina oleh PKNS.
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meraih jualan sebanyak RM37.8 juta menerusi kempen PKNS PLUS Mesti Beli yang diadakan pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, PKNS berjaya menjual sebanyak 68 unit hartanah sepanjang tempoh kempen berlangsung berbanding sasaran awal 27 unit hartanah sahaja sekali gus melepasi sasaran jualan 158 peratus.

Menurutnya, antara projek yang mendapat sambutan paling menggalakkan ialah Puteri Elaisha di Kota Puteri, Taman Sijangkang Jaya di Sijangkang dan pangsapuri Selangorku di Cyberjaya.

“Kejayaan kempen program PKNS PLUS Mesti Beli ini adalah hasil rancangan rapi daripada unit jualan PKNS di samping pelbagai tawaran dan insentif hebat yang diberikan kepada semua pembeli hartanah PKNS.

“Selain itu, faktor sokongan lain seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan diskaun sehingga 20 peratus juga turut menyumbang kepada kejayaan kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Suhaimi berkata, pencapaian itu dikira kejayaan berganda bagi kempen PKNS PLUS Mesti Beli kerana PKNS PLUS Siri 1/2021 berjaya mencapai nilai jualan secara keseluruhan lebih RM50 juta yang melibatkan 102 unit dan peratus pencapaian adalah 151 peratus.

Beliau berkata, strategi jualan dan pemasaran PKNS dalam menawarkan produk yang mesra pengguna selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga yang tepat terbukti berkesan.

“Kejayaan berganda ini telah membuktikan produk hartanah PKNS masih menjadi pilihan pelanggan dan mempunyai nilai jual yang tinggi dari segi lokasi dan kemudahan sekitar,” katanya.

Menurutnya, PKNS meramalkan permintaan untuk produk hartanah miliknya akan terus meningkat berdasarkan kepada trend pembelian pelanggan sepanjang tahun ini.

PKNS PLUS Mesti Beli merupakan kempen jualan hartanah untuk orang awam memiliki hartanah PKNS dengan rebat dan diskaun eksklusif khas untuk pembeli pada waktu promosi.

Penganjuran program kali ini juga adalah bersempena ulang tahun PKNS ke-57 dan Bulan Kemerdekaan yang disambut pada Ogos lepas.

Kempen bagi program ini dijalankan secara hibrid iaitu digital dan konvensional, manakala penjualan secara dalam talian melalui PKNS X Line dan Media Sosial PKNS Property.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!