X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Koperal didakwa terima suapan RM700

Mohamed Shaffiq (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki.
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas tuduhan menerima suapan RM700 bagi membebaskan seorang lelaki yang didapati memiliki air ketum.

Tertuduh, Mohamed Shaffiq Mohamed Sidek, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bapa kepada dua anak ditugaskan di bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan didakwa telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM700 daripada seorang lelaki.

Suapan itu diterima oleh tertuduh sebagai dorongan untuk melepaskan Muhammad Faiz Aiman Mohd Yusof kerana memiliki air ketum yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di IPD Kuantan, antara jam 1 hingga 2 petang pada 25 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 ( a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!