GPM Malaysia salur lebih RM3 juta untuk rakyat Palestin

Antara bantuan yang disalurkan GPM Malaysia kepada rakyat Palestin.
Antara bantuan yang disalurkan GPM Malaysia kepada rakyat Palestin.
A
A
A

SHAH ALAM - Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyalurkan dana sebanyak RM3,031,122 kepada rakyat Palestin melalui sumbangan daripada pelbagai pihak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, rentetan peperangan 11 hari yang berlaku di Palestin pada Mei lalu, GPM melancarkan bantuan membabitkan keperluan kecemasan, pembinaan dan pembaikan semula, pasca perang serta pengupayaan komuniti.

“Sumbangan tersebut disalurkan dalam bentuk bantuan perubatan seperti ubat-ubatan, peralatan kegunaan pesakit hospital, mainan kanak-kanak bagi mengurangkan trauma, bahan bakar untuk generator elektrik hospital, kenderaan pelbagai guna dan ambulans dengan peralatan yang lengkap.

Bantuan mainan diberikan kepada kanak-kanak Palestin bagi mengurangkan trauma mereka terhadap peperangan yang berlaku di sana.
Bantuan mainan diberikan kepada kanak-kanak Palestin bagi mengurangkan trauma mereka terhadap peperangan yang berlaku di sana.

“Bantuan turut disalurkan dengan memberi kotak makanan selama sebulan yang mengandungi makanan ruji seperti sayur-sayuran dan bayaran sewa rumah selama enam bulan beserta kelengkapan barangan rumah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, GPM turut menggerakkan beberapa projek jangka masa panjang melibatkan sektor pendidikan dan ekonomi seperti pembinaan madrasah tahfiz serta penyediaan kelengkapan sekolah.

“Bagi projek ekonomi pula melibatkan ladang ternakan dan tanaman yang dapat membantu sumber pengekonomian penduduk Palestin, selain sistem solar serta air yang akan membekalkan keperluan asas kepada penduduk di sana,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Antara bantuan yang disalurkan GPM Malaysia kepada rakyat Palestin.
Antara bantuan yang disalurkan GPM Malaysia kepada rakyat Palestin.

Sementara itu, beliau berkata, atas ketelusan dalam memastikan bantuan diberikan secara efektif kepada penduduk Palestin, GPM telah menubuhkan entiti khas iaitu Malaysia For Palestin (MFP) yang akan menfokuskan isu-isu, pelaksanaan bantuan dan projek di sana.

“Pelancaran MFP telah disempurnakan Pengerusi GPM Malaysia, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman sempena pembentangan Laporan Bantuan Kemanusiaan Kempen Peduli Palestin.

“MFP akan turut menyalurkan sumber berita mengenai keadaan semasa yang berlaku di tanah Palestin agar isu negara ini dapat difahami seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.