Empat kes pecah kereta dipercayai dilakukan suspek sama

Antara kereta yang menjadi mangsa kes pecah cermin dan curi di Bandar Tasik Puteri.
Antara kereta yang menjadi mangsa kes pecah cermin dan curi di Bandar Tasik Puteri.
A
A
A

RAWANG - Polis Gombak menerima empat laporan kes pecah cermin kereta dan curi di Bandar Tasik Puteri dipercayai dilakukan suspek sama.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada Selasa, Balai Polis Kundang menerima satu laporan kes pecah cermin kereta daripada seorang lelaki berusia 60 tahun.

Menurutnya, mangsa meletakkan kenderaan jenis Perodua Axia di hadapan rumahnya dan mendapati cermin belakang sebelah kanan keretanya telah pecah.

"Selain itu, kereta juga dalam keadaan berselerak serta beberapa barang berharga seperti wang syiling RM100 dan sekeping kad Touch N Go telah hilang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, siasatan awal mendapati terdapat tiga laporan polis berkaitan kes pecah kereta yang menggunakan modus operandi sama diterima di kawasan perumahan tersebut dengan anggaran kerugian keseluruhan bernilai RM2,000.

"Kes pertama melibatkan jenis Proton Saga dan mangsa mengalami kerugian wang syiling anggaran RM10 serta sehelai jaket.

"Kes kedua pula melibatkan kereta jenis Perodua Axia menyebabkan mangsa mengalami kerugian wang syiling anggaran RM20 dan kes ketiga membabitkan pemilik Proton Persona yang mengalami kerugian wang syiling anggaran RM30, sehelai jaket serta sepasang cermin mata jenama Rayban," katanya.

Zainal Mohamad berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Mohd Nasiruddin Mohd Nasir di talian 03-61262222," katanya.