Gesa tindakan tegas terhadap penjual sijil vaksin palsu

 Sijil vaksin palsu itu dipercayai dijual dengan harga RM300 hingga RM1,500. Foto Bernama
Sijil vaksin palsu itu dipercayai dijual dengan harga RM300 hingga RM1,500. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mahu kerajaan mengenakan hukuman sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam penjualan sijil digital palsu vaksinasi Covid-19.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, perkara tersebut boleh merebak seperti barah jika dibiarkan berterusan tanpa kawalan yang sepatutnya.

"Kerajaan tidak boleh memandang remeh perkara ini dan perlu mengambil tindakan segera. Ini adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan mudah.

"Tindakan mestilah melibatkan kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, sijil vaksin itu dipercayai dijual dengan harga RM300 hingga RM1,500.

“Mereka yang beli ini bukan sahaja tipu orang, tetapi dia tipu diri sendiri. Kalau jadi apa-apa, mereka juga akan susah. Kalau tiada pembeli, tiadalah penjual. Dua-dua pihak kita kena siasat dan kenakan tindakan.

“Ambillah vaksin, jangan abaikan keselamatan diri. Kerajaan sudah bantu dengan cara yang terbaik, vaksin bukan kena bayar. Kenapa kita perlu habiskan duit untuk perkara yang sia-sia,” katanya.

Artikel Berkaitan: