171 struktur telekomunikasi baharu akan dibina di Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebanyak 171 struktur telekomunikasi baharu akan dibina serta 1,754 alat pemancar komunikasi akan dinaik taraf dan 252,475 premis akan disediakan capaian gentian optik talian tetap di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Perak sehingga suku kedua tahun ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed berkata, pelan Jendela dilaksanakan secara berfasa dengan Fasa Satu bermula September tahun lalu dan berakhir pada hujung tahun depan.

"Pelan itu memberi fokus kepada pemantapan infrastruktur digital dengan tumpuan diberikan kepada pembinaan tapak baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G serta menyediakan capaian gentian optik di premis di seluruh negara sebagai persediaan untuk negara beralih kepada teknologi 5G," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, Jawatankuasa Penyelarasan Infrastruktur Telekomunikasi Perak yang dipengerusikan beliau sendiri ditubuhkan bagi memastikan pembinaan infrastruktur digital dapat dimudah cara agar tempoh penyediaannya dapat dipercepatkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri komited dan akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan kesemua cadangan dasar yang telah diluluskan di peringkat pusat dapat diaplikasikan di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). - Bernama

Artikel Berkaitan: