Pesara polis direman bantu kes rasuah

Suspek berusia 60 tahun direman pada Rabu kerana dipercayai menerima suapan.
Suspek berusia 60 tahun direman pada Rabu kerana dipercayai menerima suapan.
A
A
A

MELAKA - Seorang pesara polis direman tiga hari kerana dipercayai menerima rasuah bernilai RM1,500 hingga RM2,200 setiap bulan daripada sebuah syarikat keselamatan.

Lelaki berusia 60 tahun dan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Muhammad Nazrin Ali Rahim pada Rabu sehingga Jumaat ini.

Individu yang bersara April lalu itu ditahan jam 8.05 malam pada Selasa ketika diminta hadir ke Pejabat SPRM Melaka untuk tujuan diambil keterangan.

Suspek yang sebelum ini berpangkat Asisten Superintendan dan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka disyaki meminta wang suapan setiap bulan daripada sebuah syarikat keselamatan.

Difahamkan wang bernilai antara RM1,500 hingga RM2,200 itu sebagai balasan mendapatkan kerja kawalan keselamatan untuk Syarikat Rapid Security Sdn Bhd daripada Syarikat PB Realty (M) Sdn Bhd bermula November 2019 hingga Mac lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

Artikel Berkaitan: