Leftenan Kolonel mengaku tidak bersalah terima rasuah RM2,500

Shafizan Amin, 47, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas tuduhan rasuah tahun lalu.
Shafizan Amin, 47, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas tuduhan rasuah tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2,500 berhubung kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh tahun lalu.

Shafizan Amin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suatu barang berharga iaitu wang tunai RM2,500 melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik seorang wanita daripada seorang lelaki, iaitu pemilik sebuah syarikat swasta.

Tertuduh mengetahui ia berkaitan dengan tugas rasminya sebagai Penolong Pegawai Memerintah di Rejimen Perhubungan Strategik, Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, iaitu berkenaan kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional di Putra Heights pada 2 Mei hingga 28 Julai 2020.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shahruzaman dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Aidil Arsad serta Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, dihalang daripada memperbaharui pasport dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 2 April lalu, Sinar Harian melaporkan, dua individu termasuk seorang pegawai kanan Tentera Darat berpangkat Leftenan Kolonel direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM16,000 bagi kerja-kerja di sebuah kem di Selangor selama setahun bermula 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Pegawai kanan tentera, kontraktor direman tujuh hari