X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

KDN mohon peruntukan RM10 juta rancakkan usaha pemulihan klien

Hamzah Zainudin
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memohon peruntukan khusus berjumlah RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan aktiviti dan usaha mengekalkan kepulihan bekas klien di seluruh negara untuk tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menyediakan draf Rang Undang-undang Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang lama.

“Sebelum membentangkan akta tersebut di Parlimen, kementerian akan memperuntukkan waktu yang mencukupi untuk mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada semua pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan.

“Ini untuk memastikan akta baharu akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan lebih ramai penagih serta penyalahguna dadah dan substan menerima rawatan dan pemulihan sewajarnya,” katanya semasa merasmikan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan Tahun 2021 yang bertemakan Solidariti Kepulihan pada Rabu.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri dilantik menjadi ‘role model’ kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.

“Pendekatan itu secara tidak langsung bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti disediakan kerajaan khususnya AADK,” ujarnya.

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos 2021, seramai 47,863 orang klien telah menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh negara dan membuktikan perkhidmatan tersebut tidak terjejas ketika pandemik Covid-19, malah penggunaan teknologi dipertingkatkan bagi memastikan mereka mendapat akses rawatan.

Sementara itu, Sutekno berkata, simposium tahun ini disertai seramai 1,300 orang melibatkan pegawai-pegawai AADK, pengerusi dan ahli-ahli JKPD seluruh negara, Ahli Lembaga Pelawat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan wakil-wakil badan bukan kerajaan.

Selain itu, katanya, turut terlibat pengusaha-pengusaha Pusat Pemulihan Dadah Persendirian, klien-klien AADK dan rakan pejuang kepulihan dari seluruh negara yang berjaya menjadi contoh kepada masyarakat.

Jelas beliau, simposium tersebut dipadatkan dengan wacana ilmu dan mengetengahkan mereka yang pakar serta berpengalaman luas dalam membantu penagih dadah di dalam negara.

“Sepanjang dua hari ini, kita berpeluang melihat potensi klien AADK berkembang menjadi individu lebih baik melalui tayangan video persembahan PUSPEN, termasuk mengunjungi 10 bilik pameran secara virtual.

“Saya mengesyorkan lebih ramai peserta untuk aktif mengeksplorasi setiap fungsi butang dan bilik yang disediakan manakala sesi pembentangan pelbagai tajuk oleh organisasi berbeza dapat dilawat di bilik-bilik berasingan mengikut kesesuaian serta keperluan,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!