X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

MyTravelPass sudah tidak relevan: Tony Pua

Tony Pua
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk membatalkan program MyTravelPass kerana disifatkan tidak lagi relevan ketika ini.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee mendakwa, pelaksanaan program berkenaan hanya akan menyulitkan urusan mereka yang terlibat kerana disebabkan proses birokrasi selain mengundang pembaziran.

Menurutnya, tidak dinafikan di awal pandemik, MyTravelPass amat diperlukan ketika negara dan seluruh dunia berdepan wabak itu, namun pertimbangan pembatalan program itu perlu dibuat kerana mengambil kira peralihan fasa kepada endemik.

“Permohonan MyTravelPass ini menyebabkan kesulitan kepada mereka yang terlibat iaitu membabitkan pembaziran masa, kos dan juga mengakibatkan tekanan. Saya mohon supaya kerajaan membatalkannya.

“MyTravelPass diperlukan pada awal pandemik kerana pada masa itu jumlah jangkitan di Malaysia terkawal, berbanding negara luar. Sebab itu perlu hadkan rakyat kita ke luar tetapi kini keadaan telah berubah," jelasnya.

Dalam pada itu, Tony berkata, buat masa ini jangkitan lebih banyak melibatkan warga tempatan di Malaysia dan jumlah kes import adalah amat kecil memandangkan mereka yang ingin masuk ke dalam negara perlu dikuarantin.

“Selain itu rakyat negara kita juga sudah ramai yang lengkap divaksin dan banyak negara lain juga telah mencapai tahap yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Parlimen pada Rabu.

Minggu lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan Jabatan Imigresen untuk mengkaji semula kategori permohonan keluar negara yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.

Mengulas perkara itu, Tony menyifatkan ia satu langkah yang baik namun keperluan pembatalan juga perlu dipertimbangkan.

“MyTravelPass sudah tidak relevan. Kes pandemik sudah jadi endemik.

“Saya harap proses birokrasi yang bukan sahaja menyulitkan urusan orang ramai tetapi turut menambah tugas yang tidak perlu kepada pegawai Jabatan Imigresen dapat dikaji dan dibatalkan secepat mungkin,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!