Hospital tidak kenakan caj urus jenazah mangsa Covid-19

Dr Mohd Hayati
Dr Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Pihak hospitak tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah terhadap keluarga mangsa pesakit Covid-19 di Kedah.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pihaknya menafikan hospital di negeri ini ada mengenakan caj itu, sebaliknya ia dikenakan agensi pengurusan jenazah swasta.

"Selepas pesakit Covid-19 dimasukkan ke wad selama 28 hari, pesakit menerima rawatan yang sembuh dan sihat akan dimasukkan ke wad ataupun unit rawatan rapi (ICU) biasa bukannya ICU khas Covid-19.

"Bagi pesakit yang meninggal dunia, ahli keluarga akan diberi surat pelepasan untuk menguruskan jenazah, yang mana waris dikenakan bayaran oleh agensi pengurusan jenazah apabila ingin membawa pulang jenazah pesakit Covid-19," katanya bagi menjawab soalan lisan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Ketika menjawab soalan tambahan caj RM1,000 hingga RM1,400 ditanggung waris untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19, beliau menegaskan pihak hospital tidak meletakkan sebarang bayaran sebaliknya agensi pengurusan jenazah yang menguruskan perkara itu.

"Mengenai isu harga kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 muslim dan bukan muslim ini, kita akan bawa dalam mesyuarat peringkat negeri untuk perbincangan lanjut, sebab ia melibatkan dana dan perbincangan dengan Exco," katanya.

Dr Mohd Hayati memberitahu kerajaan negeri membantu keluarga mangsa dari segi pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 yang diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah.

Katanya, pengurusan berkenaan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemantauan ketat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan pula membantu dari segi sumbangan khairat kematian berjumlah RM5,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada keluarga yang kematian ahli keluarganya disebabkan Covid-19.

Beliau memaklumkan permohonan ini boleh dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan dihantar terus kepada Nadma untuk diproses.

"Bagi anak-anak yang kematian kedua ibu bapa akibat Covid-19 dan hilang punca pendapatan isi rumah, penjaga kanak-kanak itu boleh berhubung dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) bagi mengetahui dengan lebih lanjut jenis bantuan yang bersesuaian untuk dipohon," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati menjelaskan secara keseluruhannya kematian yang didaftarkan bermula Januari 2020 sehingga Disember 2020 adalah tidak banyak sepertimana kematian yang didaftarkan pada tahun 2021.

"Daripada Januari sehingga 5 September 2021, sebanyak 1,556 kematian dicatatkan akibat Covid-19 yang didaftarkan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Kedah.

"Berdasarkan data, 504 kematian daripada keseluruhan kematian didaftarkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), diikuti 497 kematian di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Kulim (335 kes) dalam tempoh sama," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 73 kematian didaftarkan di Hospital Kuala Nerang, Hospital Baling (47), Hospital Sultanah Maliha (35), Hospital Sik (32), Hospital Yan (26), Hospital Jitra (5), dan PKRC Institut Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kulim (2).