KKM belanja RM593 juta untuk peralatan tambahan rawatan Covid-19

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM593 juta untuk memperolehi peralatan perubatan tambahan bagi memastikan pesakit Covid-19 yang berada pada tahap kritikal mendapat rawatan terbaik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perbelanjaan yang dilakukan bagi tempoh 2020 dan 2021 itu melibatkan peralatan antaranya seperti katil unit rawatan rapi (ICU), mesin ventilator dan silinder oksigen.

“Ini tidak termasuk sumbangan yang telah kita terima daripada luar negara dan dalam negara melibatkan jumlah sumbangan bernilai RM148 juta,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) berhubung jumlah perbelanjaan yang telah digunakan KKM untuk menangani kes Covid-19.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai keperluan menambah tenaga kerja selari dengan peningkatan kapasiti rawatan Covid-19, Khairy menyatakan bahawa KKM telah menubuhkan ‘National Rapid Response Taskforce’ bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, pasukan khas tersebut boleh diatur gerak kepada mana-mana kawasan atau negeri yang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 dan kapasiti rawatan.

“Sebagai contoh, di Pulau Pinang kita telah dan sedang atur gerak 223 petugas kesihatan, 57 pegawai perubatan, 36 jururawat dan 62 penolong pegawai perubatan.

“Di Kedah, saya telah atur gerak 156 petugas kesihatan. Di Sabah juga telah menunjukkan peningkatan kes, jadi telah diatur gerak 102 kakitangan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata, selain dapat menampung keperluan pekerja kesihatan di kawasan yang merekodkan peningkatan kes, pasukan tersebut juga akan dapat memastikan petugas barisan hadapan di kawasan berkenaan tidak mengalami ‘burnout’ ekoran beban kerja yang berlebihan.