X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Gempa jarang berlaku gegar Australia

Penduduk yang panik berkumpul berhampiran lokasi sisa runtuhan struktur di Chappel Street di Melbourne pada Rabu. - Foto AFP
A
A

SYDNEY - Gempa berkekuatan 5.9 magnitud menggegar Melbourne pada Rabu yang merupakan gegaran paling kuat pernah direkodkan di negara itu yang turut menyebabkan kemusnahan kecil pada kebanyakan struktur di bandar kedua terbesar di Australia itu dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Geosains Australia memaklumkan, pusat gempa itu berada berhampiran bandar pedalaman Mansfield di negeri Victoria yang terletak kira-kira 200 kilometer di timur laut Melbourne dan pada kedalaman 10 kilometer manakala gegaran susulan dicatatkan berkekuatan 4.0 magnitud.

"Gempa kuat itu berlaku selama kira-kira 10 saat," kata ahli geosains University of Melbourne, Mark Quigley.

Imej dan video yang menjadi tular di media sosial turut menunjukkan sisa runtuhan struktur di salah sebuah jalan utama di Melbourne selepas kejadian itu yang berlaku pada jam 9.15 pagi (waktu tempatan).

Penduduk di bahagian utara bandar itu mendakwa mereka juga terputus bekalan elektrik dan sebahagian yang lain dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Gegaran itu dirasai sehingga ke bandar Adelaide yang terletak sejauh 800 kilometer dan Sydney hingga ke New South Wales, namun tiada kemusnahan serius atau kecederaan serius dilaporkan.

Lebih separuh daripada 25 juta populasi di Australia menetap di tenggara negara itu yang meliputi Adelaide, Melbourne hingga ke Sydney.

Menurut GeoSains, gempa adalah kejadian luar biasa di timur negara itu kerana kedudukannya di tengah-tengah Plat Tektonik Indo-Australia dan kali terakhir gegaran paling kuat pernah direkodkan adalah 5.6 magnitud di Newcastle yang meragut 13 nyawa pada 1989.

Sementara itu, Biro Meteorologi memberitahu tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Perdana Menteri, Scott Morrison yang mengikuti perkembangan gempa itu dari New York turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut.

"Ia merupakan peristiwa yang membimbangkan. Gempa bumi adalah kejadian yang sangat jarang berlaku di Australia," ujarnya.

Difahamkan, gempa itu turut dirasai di beberapa bahagian di New Zealand. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!