Mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat

Rumah penduduk dinaiki air dalam kejadian banjir yang melanda daerah Kuala Selangor sejak Sabtu.
Rumah penduduk dinaiki air dalam kejadian banjir yang melanda daerah Kuala Selangor sejak Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuala Selangor terus menunjukkan peningkatan setakat jam 8.30 pagi Rabu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, sehingga kini seramai 177 mangsa daripada 58 keluarga sudah dipindahkan ke empat PPS berkenaan.

Menurutnya, PPS terbaharu dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz, Kampung Kuantan pada jam 9 malam Selasa.

Katanya, penduduk dua kampung terlibat banjir dipindahkan ke PPS itu iaitu Kampung Tanjong Siam Baharu dan Jalan Datuk Ismail.

"Seramai 24 mangsa daripada 10 keluarga telah dipindahkan di sini membabitkan seramai 11 lelaki dan 13 perempuan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Maizura berkata, mangsa banjir di SK Rantau Panjang masih kekal 90 mangsa daripada 27 keluarga.

Katanya, banjir yang melanda kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Ahad lalu antara PPS tertinggi menempatkan mangsa banjir di daerah ini.

"PPS ini menempatkan seramai 90 mangsa daripada 27 keluarga," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, sebuah PPS di SK Parit Mahang dibuka sejak Isnin lalu menempatkan seramai 14 mangsa daripada lima keluarga.

"Kejadian banjir membabitkan Jalan Bahagia, Kampung Parit Mahang," jelasnya.

Katanya, penduduk dua kampung iaitu di Kampung Tanjong Siam Baharu dan Kampung Tanjong Buah Buahan yang terjejas akibat banjir ditempatkan di SK Pasangan.

"SK Pasangan dibuka pada Selasa membabitkan seramai 49 mangsa daripada 16 keluarga," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor seramai 132 mangsa daripada 46 keluarga setakat jam 6 petang.