X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Pesara tentera rugi RM16,000 ditipu 'Nuar'

Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Seorang pesara tentera kerugian RM16,000 diperdaya anak saudaranya dikenali sebagai Nuar bagi tujuan membebaskan anaknya daripada tahanan polis.

Kejadian bermula pada 6 Julai lalu, apabila mangsa berusia 62 tahun itu menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, individu terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis iaitu ASP Prakash memaklumkan anaknya ditahan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Menurutnya, suspek mendakwa anak mangsa ditahan atas kesalahan dadah melibatkan kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“ASP Prakash telah membuat tawaran untuk membebaskan anak mangsa dan meminta mangsa berurusan dengan anak saudara mangsa bernama Nuar.

"ASP Prakash turut meminta mangsa menyediakan wang untuk urusan membebaskan anaknya itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan itu katanya, mangsa telah mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada ASP Prakash melalui akaun bank milik individu lain.

Jelasnya, selepas itu mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak Narkotik IPD Jerantut dan memaklumkan bahawa anaknya akan dihantar ke Penjara Simpang Renggam, Johor.

Katanya, mangsa berasa terkejut kerana telah membuat bayaran untuk melepaskan anaknya.

"Mangsa telah meminta Nuar memulangkan semula wangnya namun individu terbabit gagal berbuat demikian.

“Mangsa tidak berpuas hati dan mengesyaki anak saudaranya itu telah bersubahat dengan ASP Prakash untuk menipunya.

"Mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!