Usahawan permulaan tidak terkecuali terima bantuan INSKEN

INSKEN akan bantu kesemua usahawan termasuk usahawan permulaan yang melalui Kursus Asas Keusahawanan sejak tahun 2019. (Gambar kecil: Muhd Firdaus)
INSKEN akan bantu kesemua usahawan termasuk usahawan permulaan yang melalui Kursus Asas Keusahawanan sejak tahun 2019. (Gambar kecil: Muhd Firdaus)
A
A
A

INSTITUT Keusahawanan Negara (INSKEN) akan membantu kesemua usahawan termasuk usahawan permulaan yang melalui Kursus Asas Keusahawanan (KAK) sejak tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, modul KAK dan KAK Sosial (KAK Se) merupakan persediaan awal untuk usahawan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum melangkah masuk ke dalam bidang keusahawanan.

Beliau menambah, semenjak negara berdepan dengan pandemik Covid-19, ramai individu memilih untuk menceburi bidang tersebut terutama mereka yang hilang pekerjaan.

“Justeru, wajarlah untuk bakal usahawan mendapatkan ilmu asas keusahawanan seperti KAK ini untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka supaya tidak terencat.

“Hasil maklum balas status alumni KAK, seramai 197 daripada 535 usahawan telah memulakan perniagaan selepas menyertai kedua-dua program ini.

"Para peserta turut menyediakan 1,007 pekerjaan dalam perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhd Firdaus berkata, modul yang ditawarkan melalui program KAK juga sangat lengkap dan komprehensif sehingga membolehkan usahawan mendapat gambaran lebih awal mengenai operasi perniagaan yang bakal dibuka kelak.

“Antara modul yang disentuh ketika kursus ini adalah pendaftaran bisnes, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran serta operasi bisnes dan banyak lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang peniaga makanan sejuk beku, Zulia Mahali berkata, dia terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan, yang memerlukannya bertindak mengubah rancangan perniagaan.

“Sebelum ini perniagaan kecil-kecilan saya tidak berdaftar dan sangat lemah dalam bidang pemasaran, pengurusan kewangan dan pembangunan produk sehingga tiada perkembangan yang dapat dilakukan.

“Namun, saya menjalankan perniagaan makanan sejuk beku ini, segera mengikuti KAK dan memperbaiki semula model serta operasi perniagaannya sejurus tamat menjalani program KAK selama dua hari,” ujar Zulia.

Selain KAK, Zulia turut menyertai Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) selama enam bulan mengikut industri yang ditetapkan.

Dia dibimbing oleh pakar industri melalui program IBBC bagi mencapai KPI yang ditetapkan, minima 20 peratus peningkatan jualan.

Hasilnya, Zulia berjaya meningkatkan hasil jualan daripada empat angka kepada lima angka sebulan.

Susulan daripada itu, tujuh peluang pekerjaan baharu tercipta dan pasaran produknya berkembang lebih meluas apabila berjaya menempatkan produknya di beberapa pasar raya dan pasar mini di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, INSKEN telah menjalankan 295 KAK dan KAK Se yang telah memberi manfaat kepada 12,265 usahawan.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook dan Instagram rasmi INSKEN, @inskenofficial.