Nafuzi mahu manfaatkan import

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu memanfaatkan khidmat sembilan pemain import termasuk empat dari skuad Terengganu FC ll (TFC ll) bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang membuka tirainya pada Sabtu ini.

Malah menurut Nafuzi, pendekatan itu secara tidak langsung memberikannya lebih pilihan dalam membentuk skuad yang mantap dalam mengharungi jadual perlawanan yang ketat dan padat berbanding saingan Liga Super sebelum ini.

Biarpun begitu beliau masih menekankan faktor keserasian dan prestasi semasa pemain masih menjadi kriteria utama untuk pemilihan pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan nanti.

“Semua pemain import TFC ll sedang menjalani latihan bersama skuad utama (TFC), bermakna kami mempunyai sembilan import yang pastinya memberi sedikit kelegaan, sekiranya ada masalah kecederaan, kad dan sebagainya.

“Namun kita kena lihat daripada segi kesesuaian pemain juga kerana pentas Piala Malaysia ini berbeza dengan Liga Super,” katanya.

Anak buah Nafuzi diundi dalam kumpulan B bersama-sama Selangor FC, Perak FC dan pasukan di kedudukan ketiga Liga Premier bagi mengharungi saingan Piala Malaysia.

Mengenai pasukan yang akan menjadi pencabar peringkat kumpulan, Nafuzi mengakui bahawa kelab pantai timur tersebut perlu memberi lebih perhatian terhadap Selangor FC.

Menurut Nafuzi, corak permainan Selangor juga dilihat semakin meningkat dan menjadi dalam saingan liga, dengan reputasi sebagai pasukan paling berjaya dalam kancah Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Tradisi, rekod dan reputasi Selangor FC dalam pertandingan paling berprestij, Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100, sememangnya tak dapat kita nafikan.

“Bagaimanapun saya tidak memandang remeh cabaran daripada dua lagi pesaing dalam kumpulan B yang boleh melakukan kejutan bila-bila masa,” katanya.