Perak FC tak goyang tanpa feeder club

Perak FC II sebelum perlawanan terakhir Liga Premier menentang Kuching City di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Perak FC. (Gambar kecil: Abdul Aziz)
Perak FC II sebelum perlawanan terakhir Liga Premier menentang Kuching City di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Perak FC. (Gambar kecil: Abdul Aziz)
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membubarkan pasukan berstatus kelab pembangunan (feeder club) disifatkan akan memberikan lebih ruang kepada Perak FC memperkasakan produk daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Menurut Naib Presiden II PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, tindakan itu merupakan pendekatan terbaik dalam usaha memulihkan kembali program pembangunan kedua-dua entiti tersebut yang sebelum ini menjadi ‘kilang pembekalan’ pemain kepada skuad The Bos Gaurus.

“Sejujurnya, saya menyambut baik keputusan PAFA untuk membubarkan Perak FC II setelah kelab utama, Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

“Walaupun ramai kata apabila skuad senior turun ke Liga Premier, Perak FC II pun secara automatik tersingkir ke Liga M3, tetapi sebenarnya tidak kerana Perak FC II secara automatik dibubarkan dan pemain tidak boleh beraksi di Liga M3 menggunakan nama Perak FC II, sebaliknya kena bermain di bawah satu nama kelab lain.

“Bagaimanapun, bagi pemain-pemain yang berpotensi boleh diserapkan ke Perak FC manakala selebihnya sama ada beraksi Liga M3 mewakili pasukan-pasukan dari Perak yang bertanding atau tubuhkan kelab baharu selain beraksi dalam saingan liga di peringkat daerah bagi mendapatkan pendedahan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

PAFA pada Jumaat menerusi pemangku presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad mengumumkan pembubaran Perak FC II setelah skuad utama, Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier 2022.

Menurut Muhammad Yadzan, pembubaran itu dibuat agar PAFA dapat memberikan fokus kepada Perak FC untuk kembali bangkit dalam tempoh dua tahun akan datang sebelum kembali ke saingan Liga Super.

Tambah Abdul Aziz, langkah membubarkan Perak FC II juga sebagai satu langkah jangka panjang dalam usaha menstabilkan semula hala tuju terutamanya daripada aspek kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, kita tidak perlu bimbang mengenai bakat muda untuk skuad Perak FC kerana kelab masih mempunyai pemain-pemain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia, tidak kurang juga bakat-bakat muda dari pelbagai program akar umbi.

“Cumanya kelab kena berusaha lebih keras bagi ‘menggilap’ semula pemain-pemain berkenaan khususnya daripada aspek kecergasan dan daya saing selepas pembatalan beberapa kejohanan anjuran FAM berikutan Covid-19 sebelum ini," katanya.

Pada masa sama Abdul Aziz mengakui bahawa Perak FC perlu memikirkan kaedah terbaik mewujudkan satu lagi pasukan pelapis bagi menggantikan Perak FC II bagi mengelak kebergantungan kepada produk Piala Presiden dan Piala Belia.

Jelasnya, Perak FC boleh menjadikan kelab-kelab dari saingan liga tempatan seperti Liga Ipoh, Liga Kuala Kangsar dan lain-lain sekitar negeri sebagai kelab angkat kepada Perak FC.

“Perkara ini boleh dilakukan kerana difahamkan saingan liga tempatan akan kembali berlangsung.

"Apa pun, perkara ini memerlukan perbincangan lanjut untuk dilaksanakan,” katanya.