Perkasa program subsidi upah, kekalkan OPR

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan bahawa kerajaan perlu perkasakan program subsidi upah sedia ada dan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk jangka masa panjang dalam usaha untuk memulihkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, program subsidi upah yang dilaksanakan sebelum ini menampakkan kesan positif dalam mengawal kadar pengangguran.

“Apabila kerajaan perkenalkan lagi program subsidi upah tambahan kita boleh nampak angka kadar pengangguran itu daripada 4.8 peratus turun kepada 4.7 peratus.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kadar pengangguran naik balik. Kemudian, kerajaan perkenalkan semula program subsidi upah, ia turun balik.

“Kita kena tengok balik program subsidi upah yang ada sekarang ini, kita kena murnikan program tersebut. Maknanya masih lagi ada jalan keluar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, kriteria bagi program subsidi upah sedia ada masih boleh ditambahbaik supaya ia boleh membantu meningkatkan ekonomi sektor PKS.

“Yang pertama, kita perluaskan penerima (program subsidi upah). Kedua, kita tingkatkan lagi jumlah supaya pendapatan boleh guna operator akan menjadi lebih kerap,” ujarnya.

Selain itu, menurut Ahmad Azrin, dasar polisi kewangan seperti OPR juga penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi PKS.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, OPR di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) sangat penting kerana ia memberi kesan kepada jumlah pinjaman yang ditanggung oleh pengguna.

“Jadi, katakanlah kalau kita nak bagi ekonomi lebih laju mungkin cadangan kita ialah kerajaan boleh terus kekalkan OPR ini untuk tempoh yang lebih panjang.

“Sebab OPR boleh berubah dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

“Jadi jika kerajaan boleh mengurangkan ketidaktentuan jadi mudah sedikit kepada pihak peniaga untuk merancang,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peruntukan yang perlu diberikan untuk membantu golongan PKS, Ahmad Azrin berpandangan, tidak ada angka tepat yang boleh memulihkan ekonomi mereka dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata, jumlah bantuan kemudahan yang diumumkan kerajaan sebelum ini juga masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sebab sekarang ini kita ada lapan pakej rangsangan yang diumumkan dan kalau campur semua itu, ia sudah berjumlah lebih daripada RM500 bilion.

“Katakan kalau kita boleh letak satu jumlah (untuk peruntukan) seperti RM100 juta atau RM500 juta. Jadi dengan jumlah yang akan diberikan, ia sebenarnya tidak banyak membantu memulihkan keseluruhan PKS,” ujarnya.