Malayan Tigress dituntut lebih garang

Pemain-pemain Malayan Tigress giat menjalani latihan sebagai persiapan perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022. -Foto: FAM
Pemain-pemain Malayan Tigress giat menjalani latihan sebagai persiapan perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022. -Foto: FAM
A
A
A

MALAYAN Tigress diharap dapat memberikan aksi terbaik ketika berdepan Palestin dalam usaha mencatatkan keputusan terbaik pada aksi Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 berdepan Palestin Stadium Faisal Al-Husseini, Palestin pada Rabu.

Menurut ketua jurulatih Malayan Tigress, Jacob Joseph, pemain-pemain diharap dapat memberikan fokus berdepan Palestin biarpun skuad kendaliannya itu baru sahaja mengalami kekalahan 0-4 kepada Thailand pada aksi sulung 19 September lalu.

“Kita tahu peluang cukup tipis untuk layak ke pusingan seterusnya, kerana hanya pasukan juara sahaja yang akan layak.

“Selain itu kita juga bawa seramai 17 pemain bawah umur 20 tahun. Lagi pun sudah dua tahun kita tidak boleh bermain bola sepak selain kita menjalani latihan secara bubble (gelembung).

“Itulah perlawanan pertama kita iaitu berdepan Thailand dan selepas ini kita akan berdepan Palestin pula yang baru sahaja mengikuti kejohanan wanita bagi negara-negara Arab mulai 24 Ogos hingga 6 September lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sementara itu, Jacob berkata, dia akan melakukan sedikit rombakan kepada skuad Malayan Tigress bagi berdepan Palestin khususnya bagi memantapkan jentera serangan pasukan.

Katanya, skuad kendaliannya itu lebih banyak beraksi secara bertahan ketika berdepan Thailand bagi mengekang asakan skuad Gajah Perang itu.

“Saya akan arahkan pemain untuk beraksi lebih banyak dengan corak serangan kali ini bagi berdepan Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pemain itu diharap dapat meminimumkan kesilapan agar dapat menjamin kejayaan yang diharap-harapkan nanti.

“Apa pun, diharapkan pemain-pemain mendapat pendedahan secukupnya daripada aksi kelayakan ini kerana kita dalam proses menyediakan pasukan ini untuk beraksi pada kejuaraan antarabangsa pada masa depan seperti Sukan SEA tahun hadapan,” katanya.