Ahmad jadi pengeksport manggis

Ahmad menunjukkan manggis kepada Jeffri.
Ahmad menunjukkan manggis kepada Jeffri.
A
A
A

KUANTAN - Lelaki bertubuh kecil ini tidak menyangka niatnya untuk cuba meneroka penjualan manggis di daerah ini berhasil.

Usaha Ahmad Mustafa, 39, disifatkan berbaloi apabila mampu menjadi pemborong buah berkulit hitam itu untuk dipasarkan ke Thailand secara besar-besaran.

Ahmad memberitahu, dia tidak pernah terfikir perniagaannya 'sejauh' itu, memandangkan baharu menceburi bidang ini sekitar lima tahun lalu.

Bagaimanapun katanya ALLAH SWT membuka pintu rezekinya yang dulu hanya berniaga buah secara kecil-kecilan.

“Semuanya berlaku dengan pantas dan peluang yang saya perolehi akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan perniagaan ini terus berkembang maju,” katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad berkata, pada mulanya dia hanya cuba menembusi pasaran negara gajah putih itu selepas permintaan tinggi terhadap manggis.

“Siapa sangka daripada percubaan saya dapat mengumpul lebih 100 tan dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

Manggis terbaik dipilih di pusat pengumpulan Kampung Sega Lama.
Manggis terbaik dipilih di pusat pengumpulan Kampung Sega Lama.

“Perjalanan untuk kerja-kerja (penjualan) ini berjalan lancar dan dipermudahkan apabila pasaran pertama berjaya,” katanya.

Kini, Ahmad menghantar lebih 20 tan bekalan manggis setiap minggu ke negara jiran itu dengan hanya menggunakan jalan darat selepas melalui beberapa proses.

Bekalan dari tiga daerah

Pada mulanya, Ahmad mengakui tertekan untuk mendapatkan bekalan tetapi dia berjaya selepas melakukan tinjauan di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, kini dia sudah ada pembekal tetap daripada pekebun kecil di Raub, Lipis dan Bentong manakala rumah lama milik penduduk Kampung Sega Lama, dijadikan pusat pengumpulan buah tersebut.

“Seramai 36 pekerja diperlukan untuk melakukan kerja memetik buah, mengred dan membungkus serta mengisi dalam bakul sebelum menaiki lori.

“Hanya buah 50 hingga 70 peratus masak sahaja dipetik bagi menjaga kualiti apabila tiba kepada pemborong atau penerima di Thailand," katanya.

Dia menambah, buah yang mencapai 90 peratus masak hanya untuk pasaran tempatan kerana mampu bertahan tiga hingga lima hari sahaja.

Sementara itu, Ahmad mengakui bukan mudah mengendalikan perniagaan tersebut tetapi mujur rakan kongsi Mahmud Che Mamat, 53, turut memberi komitmen.

Jelasnya, Mahmud banyak mendorongnya untuk mencuba menembusi pasaran antarabangsa kerana kualiti manggis di Pahang Barat terutama di Raub dan Bentong yang terbaik.

Jual harga borong

Ahmad memberitahu, dia menjual manggis dengan harga borong antara RM3 hingga RM5 sekilogram (kg).

Katanya, kesemua buah itu dijual kepada seorang pemborong di negara jiran, Jefri Abdullah yang menerima tawaran harganya.

Manggis terbaik dikatakan dari Raub dan Bentong.
Manggis terbaik dikatakan dari Raub dan Bentong.

“Perniagaan ini memberi pulangan menguntungkan. Saya jangkakan pengeluaran manggis luar musim yang jarang berlaku di negeri ini akan berlaku hingga akhir Mac depan, musim durian dijangka tiba pada Mei," katanya.

Sementara itu,Ahmad memberitahu, permintaan terhadap manggis begitu menggalakkan terutama pada musim ini.

Katanya, walaupun di luar musim namun pengeluaran buah begitu banyak dan memuaskan.

"Penurunan permintaan buah sedikit berlaku pada Tahun Baharu Cina baru-baru ini, namun saya yakin selepas ini rentak pasaran yang menggalakan akan kembali berlaku.

"Bagi memastikan permintaan manggis saya dapat terus kekal berada di kemuncak saya sentiasa menjaga kualiti buah selain dapat menepati jadual penghantaran," katanya.

Dia berbangga usaha mengeksport manggis yang dilakukan turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia.