Kepada siapa lagi kita boleh berharap

No Image Caption
A
A
A

KATA orang tua-tua 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga’. Mungkin itulah yang sedang didepani pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika ini angkara perbuatan segelintir pegawai dan anggota yang mengkhianati tugas mereka serta kepercayaan rakyat.

Sejak Isnin lalu, pasukan yang bertugas sebagai pembebas rasuah itu terpalit dengan dakwaan menyeleweng dan kehilangan barang kes iaitu wang tunai sebanyak AS$6 juta (RM25.1 juta).

Tiga pegawai SPRM yang terkait dengan tuduhan itu sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Dan sejak Isnin juga, bukan sedikit pihak yang mula memperkatakan tentangnya termasuk di dalam Parlimen.

Tidak terkecuali Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang dengan lantang mengkritik penglibatan segelintir pegawai SPRM dalam kes itu yang tidak ubah seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi’.

Malah, pasukan Rasuah Busters juga mendesak satu badan siasatan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditubuhkan untuk menyiasat pertuduhan kes itu secara telus.

Bahkan, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan bekas beruniform turut mendesak perkara yang sama iaitu dibentuk sebuah badan siasatan khas di bawah PDRM untuk menyiasat kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan-kenyataan keras itu mungkin tidak menggembirakan segelintir pegawai SPRM di Putrajaya. Ada yang melihat ia terlalu keras dan seolah-olah 'menyerang’ institusi itu.

Artikel Berkaitan:

Namun, ketahuilah, sama ada Pasukan Rasuah Busters mahu pun Sinar Harian sendiri, tiada sekelumit niat untuk mengkritik agensi yang telah menjadi benteng menjaga Malaysia daripada rasuah.Mereka hanya menjadi lidah rakyat yang menyalurkan kebimbangan masyarakat tentang dakwaan perbuatan culas segelintir pegawai yang gelap mata dengan wang ringgit.

Desakan-desakan keras itu juga dibuat sebagai seruan dan peringatan agar SPRM memperjuangkan nilai moral, integriti dan amanah kerana kepada SPRM, 32 juta rakyat Malaysia meletakkan harapan untuk membebaskan tanah air ini daripada rasuah.