13 termasuk dua wanita ditahan sertai parti liar

13 individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar pada Selasa.
13 individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Seramai 13 individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam parti liar di sebuah inap desa di Taman Permaipura pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka berusia antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mereka yang tinggal di sekitar Sungai Petani, Baling dan Pulau Pinang serta bekerja sebagai operator kilang, mekanik, petugas penghantar makanan, bekerja sendiri dan penganggur, datang ke inap desa itu untuk berhibur.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati, inap desa yang digunakan bagi tujuan terbabit, disewa dengan harga RM250 semalam.

"Pemeriksaan turut menemui satu peket disyaki dadah jenis ketamin dalam poket salah seorang individu.

"Kesemua mereka dikompaun kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal manakala seorang lelaki direman selama empat hari kerana disyaki memiliki dadah dan lima individu lagi disoal siasat kerana saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis ketamin,"katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara 2021, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: