Ekosistem pembangunan vaksin negara dimantapkan

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memantapkan ekosistem pembangunan vaksin negara dalam usaha membangunkan vaksin keluaran tempatan, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (NVDR) dijangka diumumkan pada November ini dalam usaha untuk memastikan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa hadapan.

Ketika ini, katanya vaksin denggi, kolera dan leptospirosis telah memasuki ujian praklinikal manakala vaksin Covid-19 telah memasuki peringkat penyelidikan.

Menggariskan tumpuannya dalam tempoh 100 hari dalam satu kenyataan hari ini, Dr Adham berkata MOSTI akan menggembleng usaha dan daya, serta bekerja bersama rakyat menerusi sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam usaha memacu ekonomi negara dan memperkasakan sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata, tumpuan segera MOSTI adalah kepada penghasilan vaksin tempatan, pembangunan teknologi pengganggu dan baharu muncul, peluasan ekosistem perniagaan permulaan (startup), pembangunan dan penyelidikan (R&D), serta pembudayaan STI secara bersepadu dan berterusan.

"Menyedari kesan pandemik Covid-19 kepada sosioekonomi negara, agenda STI memainkan peranan penting dalam mengarusperdanakan ekonomi inovasi di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian itu dalam 100 hari itu.

Dr Adham berkata, MOSTI akan memberi tumpuan kepada bantuan berbentuk dana pembiayaan bagi memacu ekonomi berlandaskan teknologi bagi sektor-sektor produktif seperti keusahawanan, kesihatan, pembuatan dan pertanian.

Beliau berkata, Malaysia Debt Ventures Bhd bakal menerbitkan bon dan sukuk baharu tanpa jaminan kerajaan berjumlah RM2 bilion bagi merangsang pasaran modal untuk memperkukuhkan pembiayaan Transformasi Ekonomi Digital dan Teknologi Teras.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia Science Endowment akan ditubuhkan sebagai pusat penyelaras dana dari pelbagai sumber selain dana kerajaan dengan menyediakan platform yang boleh dipercayai untuk pelabur korporat dan persendirian membiayai syarikat teknologi dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi.

Dr Adham berkata, penekanan akan diberikan kepada Program Usahawan Inovasi (innopreneur) bagi membantu golongan rentan dan terpinggir dalam kalangan B40 dan M40 bagi melahirkan peniaga mikro melalui Projek Ruang Reka.

Dr Adham berkata, Pembangunan Teknologi Simpanan Tenaga untuk Kenderaan Elektrik (EV) melalui Inisiatif Teknologi Simpanan Tenaga Kebangsaan juga akan dilaksanakan bagi meletakkan Malaysia sebagai pencipta dan pengeluar teknologi teras bagi ekosistem pasaran EV.

MOSTI juga akan memperkenalkan benih padi baharu berteknologi tinggi yang dapat meningkatkan hasil tuaian sebanyak 35 peratus berbanding purata kebangsaan, katanya.

"MOSTI percaya, peluasan benih padi baharu ini akan merakyatkan STI dan memberi manfaat kepada para petani serta menyokong agenda keselamatan makanan," katanya.

Beliau berkata, Pelan Hala Tuju Startup Kebangsaan (SUPER) akan dilancarkan pada November ini bagi menyokong usaha lebih banyak perniagaan permulaan yang berpotensi melalui agensi pembiaya di bawah MOSTI. - Bernama