Umno, Pas bersama dalam himpunan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A
GOMBAK - Umno Selangor akan bersama-sama Pas dalam satu himpunan bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 7 Disember ini.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantahan yang akan berlangsung di Medan Selera Wira Damai, Gombak itu adalah merupakan pra kepada himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Dataran Merdeka pada keesokkan harinya.

“Pra bantahan anjuran Pas ini akan diadakan sehari sebelum himpunan pada 8 Disember ini dan kita sasarkan kehadiran orang ramai sekitar 10,000 orang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Tak perlu teruskan himpunan ]


Satu himpunan besar-besaran dijadualkan berlangsung di ibu kota pada 8 Disember ini bagi membantah ratifikasi ICERD walaupun kerajaan mengesahkan untuk tidak melaksanakan perkara tersebut.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria sebelum ini turut meminta semua pihak agar tidak meneruskan sebarang bentuk perhimpunan bagi membantah ratifikasi itu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, selain ICERD, himpunan besar-besaran pada 8 Disember ini juga dijangka akan membangkitkan beberapa perkara seperti isu tekanan kos sara hidup rakyat dan harga sawit serta gerah yang merudum.

“Rakyat susah dan perlukan pembelaan. Jadi mungkin isu-isu ini akan dibangkitkan sewaktu himpunan itu nanti,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Ismail memaklumkan bahawa pihaknya melihat tiada keperluan buat Malaysia untuk meratifikasikan ICERD yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 1969 lagi.

Beliau berkata, Malaysia masih dihormati oleh negara-negara luar walaupun tidak pernah meratifikasikan ICERD.

“Dulu kita tak tandatangan pun hubungan dengan negara luar dan antara kaum tidak pernah terjejas.

“Yang terjejas adalah apabila kerajaan bercadang untuk meratifikasikan ICERD ini,” katanya.