Suntikan vaksin Covid-19 'penawar' rindu mahu ke sekolah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Rata-rata Pelajar Tingkatan Empat dan Lima, antara kumpulan awal menerima vaksin Covid-19 meluahkan hasrat tidak sabar untuk kembali ke sekolah.

Mereka sudah lama menunggu untuk menerima suntikan selepas pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa golongan pelajar berumur 12 hingga 17 tahun layak menerima suntikan vaksin.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Muhammad Mikael Mohd Azraie, 17, yang selesai menerima dos pertama pada Selasa menganggap vaksin itu sebagai 'penawar' kerinduannya untuk kembali ke sekolah seperti sebelum pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Muhammad Mikael mengakui gementar sebelum divaksin tetapi lega kerana dapat melakukan aktiviti harian seperti bersukan dan belajar secara bersemuka dengan rakan-rakan.

"Rasa selamat sebab vaksin ini melindungi kita selain mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Remaja di SMK Bukit Rangin pada Selasa.

Nur Anees Fateha Kamaruzrizan, 17, pula mengakui gembira kerana dapat kembali ke sekolah Oktober depan dan tidak sabar berjumpa kawan-kawan serta mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dengan guru.

"Sangat lama saya tidak bersemuka dengan guru dan rakan-rakan kerana hanya mengikuti pembelajaran dalam talian. Saya rindukan hari-hari bersama rakan dan guru di sekolah.

"Kini saya rasa lebih selamat untuk ke sekolah. Kalau dulu perasaan takut itu ada sebab belum menerima vaksin. Saya harap situasi akan bertambah baik secepat mungkin dan kita dapat kembali kepada kehidupan normal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nik Nur Wardiah Qurratu'aini Nik Li,17 berkata, selepas menerima suntikan dia yakin lebih selamat untuk ke sekolah dan melakukan aktiviti luar.

Ujarnya, sejak pandemik Covid-19, pelajar terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah.

"Jadi, saya rindu keadaan sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan melakukan aktiviti kokurikulum bersama," katanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.