Harga ayam mentah tunjuk trend penurunan

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam bercakap pada sidang media selepas menyertai Operasi Samar A342 di premis makanan sekitar Ayer 8 malam ini. - Foto Bernama
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam bercakap pada sidang media selepas menyertai Operasi Samar A342 di premis makanan sekitar Ayer 8 malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga ayam mentah di pasaran di negara ini menunjukkan trend penurunan berbanding minggu sebelumnya, kata Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya di 600 premis pada Selasa mendapati purata harga ayam mentah di seluruh negara ialah sekitar RM8.79 sekilogram.

"Ia (harga) lebih baik berbanding sekitar RM11 hingga RM11.50 yang direkodkan pada dua minggu lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Ops Samar di beberapa premis sekitar Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu juga, pihaknya mendapati 11 premis masih menjual ayam mentah dengan harga RM10 ke atas.

"Sebanyak 147 premis didapati menjual harga ayam mentah sebanyak RM9.50 ke atas, manakala 339 premis menjual dengan harga RM9.50 ke bawah, dan 103 premis menjual dengan harga RM8 ke bawah," katanya.

Azman berkata, penurunan harga itu adalah hasil usaha berterusan pasukan penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara termasuk kerjasama rapat antara pihak penternak, pemborong dan peruncit.

"Kami akan terus melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga ayam kekal stabil," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan peniaga yang mengambil inisiatif mengurangkan margin keuntungan dengan menawarkan harga ayam mentah lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aduan mengenai harga ayam mentah juga semakin menurun sejak kebelakangan ini berbanding sekitar 30 aduan pada dua minggu lalu.

"Semalam (Isnin), kami hanya menerima satu aduan sahaja berkaitan harga ayam mentah dan ia satu petanda yang baik," katanya.