Raducanu penanda aras pembangunan tenis Great Britain

Raducanu. - foto AFP
Raducanu. - foto AFP
A
A
A

KEJAYAAN pemain tenis Great Britain, Emma Raducanu muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini seharusnya dijadikan penanda aras bagi pihak badan pentadbir tenis British dalam usaha membangunkan sukan berkenaan.

Kenyataan itu ditegaskan bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray yang menyifatkan kejayaan Raducanu yang baru berusia 18 tahun sebagai satu kejayaan yang cukup gemilang dan sewajar dimanfaatkan pihak badan pentadbir berkenaan.

“Kejayaan Raducanu nyata membanggakan dan ia seharusnya dimanfaatkan oleh pihak badan pentadbir tenis di Great Britain dalam usaha bagi melahirkan lebih ramai pemain tenis berbakat dari Great Britain.

“Ini berikutan kejayaan Raducanu yang cukup membanggakan dan dia memenangi kejohanan berkenaan tanpa tewas walaupun satu set sepanjang laluannya ke final.

“Oleh itu, diharapkan kejayaan berkenaan dapat membantu daripada segi pembangunan sukan tenis di Great Britain dan seterusnya melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh tenis pada masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Raducanu menewaskan pemain Kanada berusia 19 tahun, Leylah Fernandez 6-4, 6-3 pada aksi final Terbuka AS, 12 September lalu dan sekali gus meraih gelaran Grand Slam pertamanya.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan Raducanu melakar sejarah selaku pemain pertama daripada pusingan kelayakan yang menjuarai kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Murray menegaskan, dia sedia memberikan nasihat termasuk beberapa tips kepada Raducanu khususnya bagaimana untuk mengekalkan status selaku pemain tenis handalan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, dia mengharapkan agar Raducanu yang lebih dahulu bertanyakan mengenai perkara berkenaan sebelum dia berkongsi nasihat serta tips kepada pemain muda berkenaan.

“Saya sedia menurunkan ‘ilmu’ kepada pemain-pemain baharu, tetapi mereka perlu lebih dahulu bertanyakan kepada saya mengenainya.

“Ia sekali gus, menunjukkan mereka bersungguh-sungguh mahu mendapatkan ‘ilmu’ berkenaan dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan,”katanya.