X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Bank perlu proaktif, sokong peminjam: BNM

Industri kewangan perlu merebut peluang ini untuk menyumbang kepada proses pemulihan dan agenda pembaharuan negara yang lebih luas.
A
A

KUALA LUMPUR - Industri perbankan perlu proaktif dan memastikannya terus membina kapasiti yang diperlukan untuk memberi sokongan kepada peminjam yang memerlukan bantuan dengan cekap dan tepat pada masanya, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Beliau berkata, ini termasuk memberikan pembiayaan baharu untuk menyokong pemulihan ekonomi berikutan lebih banyak perniagaan telah dibenarkan untuk beroperasi semula secara berperingkat.

“Sejak pembaharuan struktur selepas era Krisis Kewangan Asia, bank telah menjadi sumber kestabilan dan kekuatan.

“Ini perlu berterusan, walaupun bank menghadapi impak jangka panjang daripada pandemik, termasuk potensi pengurangan pendapatan dua kali ganda dan kegagalan membayar pinjaman yang tinggi oleh individu dan perniagaan,” katanya dalam ucaptama penutup pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 secara maya pada Selasa.

Anjuran bersama KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, acara selama sehari itu menghimpunkan pegawai bank kanan, pakar teknologi dan pemimpin pemikiran untuk membincangkan mengenai cabaran pasca pandemik yang dihadapi bank dan institusi kewangan dalam normal baharu.

"Pada akhir suku kedua 2021, pinjaman tertunggak untuk segmen perniagaan dan isi rumah, masing-masing meningkat sebanyak 1.3 peratus dan 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas," kata Abdul Rasheed.

Beliau memberitahu, bank perlu terus mengukuhkan peranan kitaran balas mereka untuk menyokong ekonomi dengan terus membiayai peminjam yang berdaya maju tetapi mempunyai masalah kewangan manakala BNM akan terus membantu industri dengan memberikan sokongan dalam pelbagai bidang.

“Industri kewangan perlu merebut peluang ini untuk menyumbang kepada proses pemulihan dan agenda pembaharuan negara yang lebih luas.

“Pandemik telah memberi penekanan kepada masalah struktur dalam ekonomi, terutamanya dalam pasaran tenaga kerja, apabila lebih banyak kumpulan pekerja rentan terjejas,” kata Abdul Rasheed.

Dalam ekonomi menuju tempoh pemulihan, beliau percaya dasar perlu beralih daripada mengekalkan pekerjaan kepada mewujudkan pekerjaan dan bank boleh menyumbang melalui penyediaan pembiayaan dan juga sokongan dengan cara lain.

Selain itu, beliau berkata, bank perlu memfokuskan kepada kemampanan sebagai antara usaha menggalakkan pemulihan ekonomi, seiring tumpuan global untuk mencapai keseimbangan dalam kemajuan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Bank mempunyai peranan utama dalam peralihan kepada ekonomi lebih menguntungkan. Sebagai contoh, penyelesaian ekonomi kitaran inklusif dan model perniagaan dilihat sebagai aspek penting untuk pembangunan mampan dan masih disifatkan sebagai usaha niaga berisiko tinggi bagi pembiaya.

“Ini adalah peluang untuk sektor perbankan menjalin kerjasama erat dengan pihak berkepentingan berkaitan, termasuk penggubal dasar untuk membangunkan instrumen pembiayaan baharu dan inovatif bagi mengurangkan risiko pelaburan ekonomi kitaran di samping memastikan pelaksanaan inisiatif yang tepat untuk perkongsian awam-swasta yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rasheed memaklumkan BNM komited untuk menggalakkan persekitaran yang membolehkan perkongsian data dalam sektor kewangan dengan menumpukan kepada pembangunan standard yang sama terhadap kes gunaan berimpak tinggi dan memperkukuh rangka kerja tadbir urus data digital bagi memastikan perlindungan dan layanan yang adil kepada pengguna pembiayaan.

“Malah, sektor perbankan perlu melaksanakan sebahagian besar kemajuan dalam ekosistem data untuk meningkatkan lagi penyertaan pembiayaan, memperkasa pengguna agar membuat keputusan yang tepat dan membangunkan penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

“Terdapat kemajuan yang menggalakkan dalam aspek membangunkan model pemarkahan kredit alternatif yang mempunyai sumber data lebih luas dan penyediaan akses terhadap data pengurusan pembiayaan peribadi masa nyata untuk pengguna,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini tentunya penting dan sektor perbankan perlu terus menunjukkan kemajuan dalam bidang ini.

Abdul Rasheed berkata, BNM akan melancarkan Rangka Tindakan Sektor Pembiayaan pada awal tahun depan yang akan menetapkan visi bagi sektor pembiayaan 2022-2026. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!