Misi AS belum tamat di Iraq

Anggota tentera AS sering menjadi sasaran siri serangan di Baghdad sejak beberapa bulan lalu. - Foto: Agensi
Anggota tentera AS sering menjadi sasaran siri serangan di Baghdad sejak beberapa bulan lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) akan mengerahkan kira-kira 2,000 anggota tentera ke Iraq walaupun mengumumkan ia bakal menamatkan misi tempur di negara itu menjelang akhir tahun ini.

The New York Times pada Isnin melaporkan anggota Bahagian Infantri Keempat akan menggantikan Pasukan Tempur Briged Infantri ke-256 untuk tempoh sembilan bulan, sekali gus menjadi pasukan tentera utama Amerika di Baghdad.

“Pasukan tersebut akan membantu dan memberi khidmat nasihat serta latihan kepada anggota keselamatan tempatan,” ujar satu lagi laporan menerusi, The Gazette.

Sementara itu, jurucakap Pentagon berkata, penempatan unit tersebut adalah sebahagian daripada sistem penggiliran biasa untuk menyokong pasukan keselamatan diketuai AS dalam operasi memerangi kumpulan militan Daesh.

Pada 26 Julai lalu, Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi memeterai perjanjian untuk menamatkan misi tempur di Baghdad selepas lebih 18 tahun pasukan tentera Amerika berada di negara itu.

Di bawah perjanjian itu, pasukan tentera Amerika akan kekal beroperasi di Iraq yang memegang peranan sebagai penasihat.

Menerusi satu kenyataan bersama, Washington dan Baghdad memaklumkan hubungan keselamatan tersebut akan memfokuskan latihan, khidmat nasihat dan perkongsian maklumat risikan untuk menangkis kebangkitan semula Daesh. - Agensi

Info

Artikel Berkaitan:

-Terdapat kira-kira 2,500 anggota tentera AS ditempatkan di Iraq ketika ini.

-Pada tahun 2011, pasukan tempur AS berundur dari Iraq di bawah perjanjian bersama pentadbiran Presiden ke-44 AS, Barack Obama. Mereka bagaimanapun dikerahkan semula di bawah pakatan asing untuk memerangi Daesh.

-Pada Disember 2017, Iraq mengisytiharkan kemenangan ke atas Daesh selepas tiga tahun kempen antikeganasan dilancarkan.