Kedah mohon buka hospital medan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mengemukakan permohonan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuka hospital medan di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) yang masih tinggi iaitu 79.9 peratus.

Menurutnya, pihaknya akan mengemukakan permohonan hospital medan dengan kapasiti katil ICU dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 Kebangsaan yang akan berlangsung pada Rabu.

“Ini kerana nilai ambang dari sudut penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 masih tidak dapat diturunkan ke bawah 70 peratus menyebabkan Kedah tidak dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah mempunyai jumlah katil ICU yang terhad iaitu hanya terdapat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Kulim.

“Hospital medan ATM boleh dibuka sama ada di Alor Setar, Sungai Petani atau Kulim mengikut keperluan dan kesesuaian logistik,” ujar beliau.

Menurutnya, ia antara usaha kerajaan negeri bagi membolehkan negeri ini segera beralih daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua PPN.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, kadar penggunaan katil hospital termasuk di wad ICU yang masih tinggi antara faktor Kedah dan Johor belum beralih ke Fasa Dua PPN walaupun kadar vaksinasi berada pada tahap yang baik.

Artikel Berkaitan:

Negeri-negeri yang diletakkan berada di bawah Fasa Dua ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Sabah.

Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak pula berada di Fasa Tiga PPN, manakala Labuan sudah berada di Fasa Empat.