15 Mac status geran Singa Utara

No Image Caption
A
A
A

STATUS peruntukan geran kepada skuad Perlis akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 15 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan Perlis disingkirkan dalam Liga Malaysia musim ini tetap muktamad dan hanya isu berkenaan geran sahaja akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Jelasnya setiap keputusan dibuat memerlukan masa kerana MFL sedang meneliti dokumen yang melibatkan enam pasukan lain, namun kes pasukan terbabit tidak seberat seperti isu Perlis.

"Buat masa ini, Perlis kekal disingkirkan saingan Liga Malaysia..sekiranya pasukan itu mahu membuat pendaftaran semua, Perlis perlu menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

"MFL bukan sahaja sedang meneliti kes Perlis tetapi terdapat kes yang melibatkan enam pasukan yang melakukan kesalahan ketika pendaftaran Liga Malaysia.

"Mengapa kes Perlis yang dikeluarkan dahulu kerana pasukan itu boleh mengganggu perjalanan saingan liga yang sedang berlangsung," katanya selepas majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA di sini.

Sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah MFL Datuk Yusoff Mahadi, tidak menolak kemungkinan peruntukan geran itu dikekalkan buat Perlis.

Namun, selepas Perlis disingkirkan dalam saingan Liga Premier, tiada lagi sebarang keputusan berhubung status geran buat pasukan itu yang berjumlah RM1 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: