JPA cadang penjawat awam diwajibkan vaksin

Jumlah penjawat awam yang telah mengambil vaksin mencapai hampir 98 peratus. - Foto Bernama
Jumlah penjawat awam yang telah mengambil vaksin mencapai hampir 98 peratus. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan isu penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

JPA dalam satu kenyataan berkata, cadangan tersebut termasuk arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali bagi mereka yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian atas faktor kesihatan.

“JPA berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan semasa sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

“Sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok mereka yang belum adalah kecil.

“Namun, perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan, di samping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan tersebut, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Justeru, masing-masing perlulah mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh ketua jabatan,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: