X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Cheng Hoe mahu pemain fokus, tak ambil mudah lawan

Aksi Harimau Malaya berdepan Vietnam pada Piala Suzuki AFF 2018 lalu. -Foto AFF Suzuki Cup
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap skuad kendaliannya itu tidak mengambil mudah cabaran daripada setiap pasukan dalam saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020.

Menurut Cheng Hoe, diundi bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos dilihat akan memberikan cabaran tersendiri buat skuad negara.

Justeru katanya, kesemua pemain perlu sentiasa fokus pada setiap perlawanan yang diharungi jika mahu mara lebih jauh pada saingan Piala AFF kali ini.

“Bagi saya, undian kali ini tidak banyak beza kerana kita akan jumpa dengan pasukan-pasukan tersebut dan membuatkan kita sudah terbiasa dengan mereka.

“Kali ini, kita tahu Vietnam adalah pasukan pilihan. Tapi yang penting kita akan ambil one game at a time kerana kita tahu Indonesia adalah musuh tradisi kita, manakala Kemboja dan Laos juga kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka memiliki ramai pemain berbakat.

“Oleh itu paling penting di sini, adalah untuk kita fokus pada setiap perlawanan bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya pada sidang media selepas majlis Undian Piala Suzuki AFF 2020 pada Selasa.

Saingan Piala Suzuki AFF 2020 dijadualkan berlangsung mulai 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 menerusi kaedah berpusat (karnival) di venue yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 lalu apabila tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Harimau Malaya terikat 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Disember 2018 sebelum tewas 0-1 pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 15 Disember 2018.

Mengulas mengenai format saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang bakal berlangsung secara berpusat berbanding secara timbal balik seperti edisi sebelum ini, Cheng Hoe berkata, ia satu format yang sangat berbeza berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, pemain masih tetap perlu memberikan fokus ketika melakukan persiapan termasuk ketika mengharungi perlawanan.

“Kita di barisan jurulatih akan sentiasa memantau prestasi pasukan, pemain kita dan dalam masa sama perlu juga melihat persiapan pasukan lain, terutamanya Vietnam yang kita tahu dalam fasa terakhir kelayakan Piala Dunia dan menyebabkan mereka berada pada satu tahap yang lain.

“Kita juga memantau perkembangan pasukan lain dan mengharapkan pemain-pemain yang dipanggil kali ini akan dapat memberikan yang terbaik bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!