Kedah berusaha percepatkan kerja naik taraf LRA Tupah

Suraya
Suraya
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah sedang berusaha mempercepatkan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di Tupah, Kuala Muda berbanding perancangan awal yang ditetapkan iaitu pada tahun 2023.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob sehubungan itu berkata, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan semula dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) supaya loji terbabit dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata, sementara menunggu kerja naik taraf LRA Tupah yang rosak akibat bencana kepala air Gunung Jerai, penduduk terbabit akan memperoleh bekalan air dari LRA Bukit Selambau yang dijangka siap pada tahun 2023.

“Sempena kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini telah diumumkan bahawa LRA Tupah dinaik taraf secepat mungkin,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) berhubung perkembangan LRA Tupah dan lima LRA lain semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Suraya berkata, kesemua kontraktor dilantik bagi kelima-lima projek naik taraf LRA itu sedang melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak projek.

“Secara umumnya kesemua projek dimulakan pada Mei dan Jun 2021 dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2023 dan 2024. Bagi projek menaik taraf LRA Jenun Baru di Pendang dan Bukit Selambau di Kuala Muda, tarikh siap kerja dijangka pada 2 Disember 2023 manakala Projek LRA Sungai Limau di Baling pada 28 Oktober 2023.

"Projek menaik taraf LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu pula dijangka siap pada 27 Mei 2023, diikuti LRA Pelubang, Kubang Pasu pada 15 Mei 2024,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: