Tutup anak syarikat Terengganu tak aktif, itu langkah tepat!

syarikat
syarikat
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Langkah kerajaan negeri untuk menutup hampir 50 anak syarikat miliknya yang dikatakan tidak aktif adalah tepat.

Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, isu itu sebenarnya sudah lama dan beliau sendiri telah berkali-kali mengutarakan isu itu di DUN Terengganu ketika awal tahun 1990-an.

“Pada masa itu, saya dipilih sebagai wakil rakyat DUN Tanggul di bawah parti Semangat 46. Namun, tiada apa-apa penjelasan diberikan oleh kerajaan negeri ketika itu. Saya dedahkan beberapa kepincangan dan kerugian yang dihadapi oleh kerajaan negeri waktu itu kerana menanggung anak-anak syarikat yang tidak aktif ini.

“Penubuhan anak-anak syarikat ini juga tidak jelas dan tidak mempunyai tujuan yang khusus, melainkan ia adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak berkepentingan dan campur tangan politik oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN Lebih 50 anak syarikat Terengganu tak aktif akan ditutup

Jelas beliau, kerajaan negeri mampu menjimatkan ratusan ribu ringgit sehingga jutaan ringgit setahun sekiranya langkah penutupan syarikat-syarikat ini dapat dilaksanakan.

Namun katanya, kerajaan negeri diminta agar dapat mempertimbangkan untuk memberi peluang sekiranya ada syarikat-syarikat tempatan yang berminat untuk mengambil alih anak-anak syarikat yang tidak aktif ini.

“Saya berpendapat, kita tidak perlu risau tentang tindakan ini boleh mengakibatkan anak-anak Terengganu bakal hilang pekerjaan kerana beberapa langkah yang efektif boleh diambil.

“Sekiranya benar kita ingin membantu mengadakan peluang pekerjaan buat anak-anak Terengganu, beberapa industri perlulah dibangunkan dengan kadar segera dan kerajaan negeri hendaklah menggalakkan penglibatan secara langsung pemain industri tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: