17 kompaun, tujuh kerana berkaraoke

Shafien (dua dari kiri) menunjukkan isyarat bagus kepada pengunjung di Pantai Irama Bachok yang lengkap vaksinasi Covid-19 semasa melakukan pemantauan.
Shafien (dua dari kiri) menunjukkan isyarat bagus kepada pengunjung di Pantai Irama Bachok yang lengkap vaksinasi Covid-19 semasa melakukan pemantauan.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 17 kompaun membabitkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula 9 September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu tujuh kompaun kerana kesalahan berhibur di pusat karaoke manakala tiga kompaun kerana makan di restoran ketika belum cukup tempoh 14 hari vaksinasi dan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Kesalahan lain ialah ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta satu kesalahan penganjuran pertandingan burung candik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif Hilmi, 29, iaitu suami mangsa ragut yang berjaya menahan suspek dalam kejadian di Kampung Binjai Ahad lalu.

Ketika kejadian pada jam 5.45 pagi, Mohd Hanif cedera pada bahagian cuping telinga kiri akibat digigit suspek ketika bergelut dan menerima tujuh jahitan.

Ujar Shafien, hasil pemantauan SOP terhadap pelancong domestik yang merentas daerah untuk beriadah dalam negeri pula memuaskan kerana mereka lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes kemalangan maut seorang jururawat, Wan Nurintan Farahida Wan Hasan, 35, Jumaat lalu selepas kereta dipandunya terbabas akibat melalui bonggol di Kampung Bunut Payong di sini.

“Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan sedang mengumpul maklumat berkaitan kerja-kerja pembinaan bonggol itu.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya, meneliti aspek pembinaan sama ada mengikut spesifikasi atau tidak termasuk garisan keselamatan yang berwarna kuning atau isu kelulusan pembinaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.