Demokratik atau tidak, pelantikan Ismail Sabri ikut Perlembagaan, perkenan Agong

Gambar kecil: Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Gambar kecil: Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak timbul isu pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebagai tidak demokratik kerana pemilihan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi berperlembagaan dan bukannya sistem demokrasi Westminster yang menjadi amalan di England.

Justeru katanya, untuk mengatakan bahawa pelantikan Perdana Menteri tidak demokratik dengan mengambil kayu pengukur demokrasi Westminster mahupun di Amerika Syarikat adalah bercanggah dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Sistem Parlimen kita hanya bermodelkan Wesminster dalam bentuk struktur dan beberapa bahagian lain, tetapi dari sudut kedaulatan Persekutuan, kuasa itu masih terletak pada Raja-Raja Melayu yang 'delegate' kuasa-kuasa tertentu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi maksud pembentukan Persekutuan yang berdaulat.

“Justeru, apabila Yang di-Pertuan Agong pada hemat Tuanku bahawa Ismail Sabri mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka pelantikan itu adalah sah dan tidak timbul isu demokratik atau tidak.

“Namun begitu, selepas dilantik maka Perdana Menteri boleh diuji sama ada mempunyai kepercayaan majoriti atau tidak sama ada dalam usul khas bagi maksud tersebut, atau ketika pengundian rang undang-undang, khususnya belanjawan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak menurut lunas-lunas demokrasi, walaupun sah dari segi undang-undang.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, rakyat sepatutnya diberikan hak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya, dan bukan melalui cara selain daripada itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu kata Wan Ahmad Fauzi, adalah tidak wajar mana-mana pihak untuk mempertikai keabsahan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan jemaah menteri.

Jelasnya, demokrasi di Malaysia adalah tertakluk pada peruntukan Perlembagaan dan keadaan-keadaan tempatan, termasuklah sistem politik tradisi Melayu yang boleh dijadikan panduan.

“Sebab itu kita lihat dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan menggariskan kaedah pentafsiran Perlembagaan, antaranya perlu dirujuk kepada teks Perlembagaan itu sebagai ‘historical context’,” katanya

Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia perlu dibaca tertakluk pada kedaulatan Raja-Raja yang masih terpelihara dan dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan.

Ujar beliau, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri mengikut budi bicara baginda, yang dijalankan mengikut Perkara 43(2)(a).

“Kerajaan yang dibina hari ini adalah kerajaan Yang di-Pertuan Agong kerana Perdana Menteri dilantik oleh Tuanku.

"Begitu juga pelantikan ahli jemaah menteri lain juga dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong walaupun mengikut nasihat Perdana Menteri.

“Banyak pihak tidak mendapat pendidikan perlembagaan berlandaskan dokumen perundangan.

“Ramai mungkin tidak dimaklumkan bahawa perlembagaan kita diabsahkan oleh kedaulatan Raja-Raja. Kita tidak pernah menerima mahupun mengamalkan demokrasi mutlak.

"Kerajaan hari ini menuntut Perlembagaan tidak boleh dipanggil kerajaan rakyat, tapi pada hakikatnya kerajaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau turut berpandangan, Perdana Menteri tidak boleh dipilih secara terus oleh rakyat memandangkan sistem pilihanraya yang ada kini sudah selari dengan ruang demokrasi yang diizinkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Demokrasi di Malaysia pernah disifatkan oleh Tun Mahathir dulu sebagai "guided democracy".

“Justeru dalam kaedah pentafsiran Perlembagaan, kedudukan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu dilihat terlebih dahulu, bukannya demokrasi,” katanya.