Pengurus besar syarikat pengeluar kereta disyaki terima rasuah

Seorang pengurus besar syarikat pengeluar kereta direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM, setelah dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai. - Foto Bernama
Seorang pengurus besar syarikat pengeluar kereta direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM, setelah dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pengurus besar syarikat pengeluar kereta direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setelah dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai.

Ia dipercayai sebagai balasan membantu syarikat kereta terpakai berkenaan memperoleh kereta prapengeluaran kegunaan kilang pengeluar bagi tujuan ujian dan kawalan kualiti, dan kereta terpakai bagi dijual di bawah harga pasaran dan tidak mengikut prosedur.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula pada Selasa hingga 26 September terhadap lelaki berkenaan, selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, kegiatan lelaki berkenaan dipercayai berlaku sejak 2019 melibatkan kira-kira 1,000 unit kereta yang tidak melalui proses penjualan yang diluluskan, dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.

Selain kereta prapengeluaran itu, kereta tukar beli daripada pelanggan yang membeli kereta baharu daripada syarikat pengeluar kereta berkenaan, turut dijual kepada syarikat kereta terpakai terlibat, kata sumber tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -Bernama

Artikel Berkaitan: