Penjual rokok seludup tegar, tak gentar

Penjual rokok seludup seperti tidak takut hukuman menjual rokok tersebut malah masih lagi menjual rokok seludup secara terbuka ketika tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Pasar Kuantan, semalam.
Penjual rokok seludup seperti tidak takut hukuman menjual rokok tersebut malah masih lagi menjual rokok seludup secara terbuka ketika tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Pasar Kuantan, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Hukuman berat denda sehingga RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun seolah-olah tidak menggerunkan penjaja rokok seludup malah penjualannya dikesan masih berleluasa dan dibuat secara terbuka di sekitar kawasan Pasar Kuantan.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan panas itu mendapati masih ada penjaja menjual rokok seludup pelbagai jenama walaupun pihak berkuasa melakukan banyak serbuan di kawasan berkenaan termasuk empat penjaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat lalu atas pertuduhan memiliki rokok seludup.

Seorang perokok seludup tegar yang lebih dikenali sebagai Din berkata, harga rokok seludup lebih murah, mampu dibeli dengan harga RM5 sekotak dan rasanya juga sama.

No Image Caption

Menurutnya, setiap rokok seludup mempunyai keistimewaan yang tersendiri, terutama sekali rokok suria atau lebih dikenali rokok Gudang Garam dan Johd D Blend yang dibawa dari Indonesia tanpa kawalan.

“Rokok seludup ni keras sikit sampai boleh rasa dalam tekak, macam rokok suria yang rasanya lebih manis dan seperti rokok John D Blend rasanya sama seperti rokok Dunhill yang berharga RM17.

“Sesetengah rokok seludup ini juga yang jenis sejuk, seperti rokok nusantara kerana terdapat pudina yang mampu membuat terasa sejuk apabila dihisap,” katanya yang menjadi perokok seludup tegar sejak di bangku sekolah hampir 13 tahun.

Din berkata, pada awalnya dia hanya ingin cuba menghisap sebatang rokok tetapi terpengaruh dengan ajakan rakan sekolahnya dan kemudian menjadi ketagih sehingga menjadikannya tidak senang duduk malah lebih teruk apabila badannya menggigil kerana tidak dapat merokok dalam masa sehari.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Kebiasaannya, saya boleh habiskan sekotak rokok dalam waktu sehari saja, lebih-lebih lagi masa buat banyak aktiviti sebab dapat kurangkan rasa mengantuk. Rokok seludup yang mudah diperoleh di mana-mana saja malah menjadikan pengguna rokok seludup semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pendidikan & Penyelidikan Untuk Pengguna-pengguna Pahang (ERA Consumers Pahang), Mohd Saiful Abdullah berkata, agensi penguat kuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) perlu meningkatkan penguatkuasaan membanteras penjualan rokok seludup di negeri ini.

Menurutnya, timbul persoalan dan menghairankan apabila jumlah rampasan rokok seludup dalam operasi pada 4 Januari lalu tidak banyak sedangkan ia kawasan panas.

“Operasi dilakukan seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga saja. Kalau serius pasti tidak ada penjaja berani menjualnya selepas operasi, tetapi kita tengok makin ramai menjual rokok seludup di Kuantan.

“Ia berlaku di kawasan bandar yang mudah untuk penguat kuasa melakukan pemantauan segera bukannya di kampung dan pedalaman. Mereka sepatutnya memperkemaskan operasi dan memperbaiki kelemahan.

“Kita bimbang imej Kuantan sebagai ibu negeri terjejas sekiranya penjualan rokok seludup terus berleluasa tanpa ada sebarang langkah untuk mengatasinya,” katanya