Penyertaan, keberkesanan PdPR di Sabah membimbangkan

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman
Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keberkesanan dan penyertaan pelajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Sabah berada di tahap yang membimbangkan khususnya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata, liputan internet pada kadar hanya 30 peratus menyebabkan penyertaan murid dalam mod pembelajaran tersebut amat rendah.

Justeru, beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pelan rancangan jangka pendek dan panjang yang lebih komprehensif dan bersifat menggunakan pendekatan pengurusan mikro.

“Kita tiada pilihan lain jika kaedah PdPR yang sedang dilaksanakan tidak dapat membantu pembelajaran secara berkesan dan efektif. Minta pegawai pendidikan daerah mengambil maklumat sebenar di lapangan untuk diajukan kepada kementerian.

“Mereka lebih faham masalah yang dihadapi cuma mungkin mereka kurang berani menyuarakan kepada pihak atasan kerana sebab-sebab tertentu.

“Kita tidak boleh menggunakan satu polisi di seluruh negara dalam merangka dan merancang pembukaan sekolah,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris meminta kerajaan memberikan tumpuan untuk menambah baik pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur komunikasi serta kemudahan internet di kawasan pedalaman Sabah.

“Ia bukan untuk manfaat perseorangan tetapi bagi membolehkan sekolah di Sabah membangun menjadi tempat kanak-kanak mengejar ilmu tanpa batasan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: