Makkal Sakti sedia hadapi PRU15

R.S Thanenthiran
R.S Thanenthiran
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) sedia untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, ia berikutan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk memberikan ruang kepada parti tersebut bertanding sebagai balasan taat setia selama 13 tahun.

“Ya, kami bersedia untuk bertanding. Ini adalah selepas BN bersetuju untuk memberikan ruang kepada kami sebagai balasan kita setia bersama BN selama 13 tahun, sedangkan banyak yang sudah mencari haluan masing-masing selepas kekalahan di PRU14,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur pada Ahad.

Thanenthiran berkata, pihaknya mempunyai calon-calon yang berkaliber untuk menghadapi PRU15.

“Kami mempunyai calon-calon yang berkaliber, semuanya adalah belia yang dilatih dari peringkat ahli biasa. Sekarang selepas sekian lama, bertransformasi menjadi pejuang masyarakat," ujarnya.

Berkenaan tanggapan parti lain, Thanenthiran berkata, beliau secara peribadi menghormati setiap parti politik kerana masing-masing mempunyai undang-undang dan kedaulatan tersendiri.

Namun, katanya, pihaknya juga mempunyai solidariti tersendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kami selama ini tidak pernah melakukan sebarang konfrontasi dengan sesiapa pun. Kita hanya tahu cara untuk berkompromi dengan mereka yang rasakan kami sebagai sahabat mereka.

“Sehingga kini, saya tidak pernah melihat sesiapa pun sebagai musuh, tetapi sekiranya ada yang melihat kami sebagai musuh, ia bukan masalah kami,” katanya.

Katanya, kompromi yang dimaksudkan itu adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat bukannya untuk keselesaan parti tersebut.

Tambah beliau, sekiranya jawatan dan wang ringgit menjadi fokus utama parti tersebut, maka sudah lama mereka bertanding dalam pilihan raya umum, bukannya setia menunggu sehingga sekarang.

“Fokus dan matlamat kami adalah rakyat dan kesejahteraan rakyat semata-mata.

“Maka, apa yang saya ujarkan adalah apa yang kami rasa betul dan secara langsung menyatakan Makkal Sakti sudah bersedia. Kompromi hanya untuk kesejahteraan rakyat," jelas beliau.