60 kawasan di empat daerah di Sabah terjejas banjir kilat

Penduduk Kampung Tampasak Sugud, Hendry Bisius, 44, memeriksa sebuah kenderaan terdampar di tepi sungai selepas dihanyutkan banjir kilat yang berlaku di Kampung Sugud petang Rabu lepas. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Tampasak Sugud, Hendry Bisius, 44, memeriksa sebuah kenderaan terdampar di tepi sungai selepas dihanyutkan banjir kilat yang berlaku di Kampung Sugud petang Rabu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Hujan lebat berterusan bermula awal pagi Selasa mengakibatkan 60 kawasan termasuk taman perumahan dan kampung di empat buah daerah di negeri ini terjejas akibat kejadian banjir kilat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu, sebanyak 39 kawasan di Kota Belud antaranya Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud dan Kampung Bobot terjejas, manakala 10 kawasan di Kota Kinabalu terjejas antaranya Taman Fulliwa, Taman Wijaya Park dan Kampung Lapasan.

Sebanyak 10 kawasan di Sipitang juga terjejas banjir antaranya Kampung Menangah Ulu Sipitang, Kampung Sungai Tiga dan Kampung Naluyan, selain di Penampang satu kampung terjejas iaitu Kampung Sugud.

"Seramai 14 orang daripada lima keluarga mangsa banjir di Sipitang dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) Dewan Mini Mesapol pagi tadi, dan 20 mangsa banjir daripada tiga keluarga di Kota Belud dipindahkan ke PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol.

Keadaan sebuah rumah penduduk Kampung Sugud Penampang yang dilanda banjir kilat petang Rabu lepas. - Foto Bernama
Keadaan sebuah rumah penduduk Kampung Sugud Penampang yang dilanda banjir kilat petang Rabu lepas. - Foto Bernama

"Proses pemindahan masih dijalankan dan jumlah mangsa dipindahkan di daerah lain belum lagi disahkan. Ketika ini dilaporkan hujan masih turun tetapi hanya renyai, pemantauan terus dilakukan terutama di kawasan hotspot banjir yang telah dikenal pasti," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, dua jalan di Penampang terjejas teruk akibat banjir iaitu Jalan Datuk Panglima Banting dan Jalan Kolopis, manakala jalan yang terjejas di kawasan Kota Kinabalu ialah di sekitar Tobobon, Manggatal sehingga ke Inanam dan Kolombong.

Artikel Berkaitan:

Turut terjejas, Jalan Kampung Menangah Ulu Sipitang, manakala beberapa jalan di Kota Belud antaranya Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu dan Jalan Kampung Menunggui turut terjejas serta hanya dapat dilalui kenderaan berat.

Selain itu, terdapat beberapa kejadian tanah runtuh kecil dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu di Kampung Unggun Jaya, Sunny Garden, Taman Fantasi, Kampung Pulau Penampang, Jalan Signal Hill, Jalan Taman Khidmat dan Taman Chanyai Villa. - Bernama