43 'hotspot' banjir dikenal pasti di Perak

Azmi menunjukkan peralatan yang digunakan dalam operasi menyelamat sebagai persediaan menghadapi banjir.
Azmi menunjukkan peralatan yang digunakan dalam operasi menyelamat sebagai persediaan menghadapi banjir.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengenalpasti 43 kawasan 'hotspot' banjir di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut bermula November ini.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, kawasan panas itu dikesan di sembilan daerah dengan 11 kawasan dikesan di Kerian dan 10 kawasan di Larut Matang dan Selama.

Menurutnya, Daerah Batang Padang pula melibatkan tujuh kawasan, Hilir Perak (4), masing-masing tiga kawasan di Kinta, Perak Tengah, Manjung serta satu kawasan di Hulu Perak dan Muallim.

"Kita akan berkolaboratif dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau keadaan cuaca selain mengenal pasti sungai dan parit kecil penyebab banjir," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini pada Selasa.

Azmi berkata, seramai 2,629 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Bomba Sukarela dan Pasukan Bomba Bantuan akan ditugaskan memantau dan menyelamat di kawasan berisiko termasuk tanah runtuh.

"Kita telah membuat penyelenggaraan semua utiliti yang akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir. Alat komunikasi juga dikemaskini dan tahap keselamatan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir juga berada dalam keadaan baik," katanya.

Azmi berkata, pihaknya akan memantau lokasi berisiko berlaku runtuhan tanah seperti di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, Jalan Gerik - Jeli dan lereng bukit.

Tambah beliau, kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan komander operasi dalam kes-kes penyelamatan akan dipereratkan dalam melancarkan tugasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JBPM Perak juga bersetuju membentuk satu pasukan bantuan yang terdiri daripada 30 hingga 40 pegawai dan anggota yang akan membantu negeri yang dilanda bencana serius.

"Kita bukan sahaja fokus kepada negeri tetapi kita sentiasa bersedia memberi bantuan kepada negeri lain sekiranya dipohon," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti riadah di tempat berisiko sepanjang musim hujan seperti perkelahan di sungai atau laut serta pendakian sebagai langkah keselamatan.