Sanusi dedah wang MBI Kedah RM13 juta dipindah ke akaun luar negara

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sebanyak RM13 juta yang dimasukkan ke akaun bank di luar negara.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang menegaskan transaksi itu berlaku ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerajui kerajaan negeri sebelum ini.

Menurutnya, pemindahan wang tersebut dilakukan ke akaun bank yang berpangkalan di Kanada.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz menyebut mengenai ungkit hal lama. Rasanya saya tak ungkit hal lama. Bila beliau bangkitkan satu perkara, baru saya jawab.

"Ada hal lama berkaitan pemindahan wang MBI sebanyak RM13 juta ke satu akaun di Kanada. Saya tak pernah sebut kepada sesiapa. Hari ini baru saya sebut,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pemilik akaun tersebut serta tujuan transaksi wang tersebut dipindahkan ke luar negara.

“Saya masih menyimpan slip bank berkaitan perkara tersebut,” jelas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya beliau berniat untuk mendedahkan hal lama dalam pentadbiran, masih banyak lagi isu yang boleh diungkitnya, bagaimanapun ia tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam nada sinis, Muhammad Sanusi berkata, Mukhriz ketika menjadi Menteri Besar Kedah dikelilingi oleh penasihat yang lebih kepada bersifat sebagai ‘punah sihat’.

“ADUN Jitra itu dikelilingi ‘punah sihat’ bukannya penasihat seperti dinyatakan beliau ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah dalam sidang DUN.

"Apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk membayar satu perbelanjaan bagi membekalkan kuih raya yang dibuat oleh penasihat Menteri Besar ketika itu. Harga begnya lebih mahal dari kuih menyebabkan kita terpaksa membayar RM1.3 juta,” dedah beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan agar mana-mana pihak agar ‘tidak membaling batu ke rumah orang sekiranya rumah sendiri dibina daripada kaca’.